Sunday, September 16, 2012

Bagaimana Menguruskan Masa Dalam Majlis Usrah?



Bismillah, salam ukhuwwah buat semua sahabat dan pelawat setia blog Quranic Group ini. Semoga kita semua sentiasa di dalam rahmat Allah.


Entri terbaru blog QG kali ini ialah: 

1. Artikel bertajuk 'Bagaimana Menguruskan Masa Dalam Majlis Usrah?
2. Perkembangan terkini tim dan silibus QG 

Selamat membaca :)

Bagaimana Menguruskan Masa Dalam Majlis Usrah?

Mengikut AlMarhum Ustaz Yahya Othman di dalam bukunya 'Usrah Sebagai Tunjang Kepada Tarbiah Gerakan Islam', masa yang diperlukan untuk majlis usrah ialah sekitar 1 jam 30 minit atau tidak lebih daripada 2 jam 30 minit. Melalui ini, kita boleh memahami bahawa usrah sebaiknya jangan terlalu lama dan juga jangan terlalu pendek masanya. Biasanya, usrah yang terlalu lama akan menyebabkan ahli usrah 'tepu' penerimaannya lalu menjadikan mereka cepat bosan. Usrah yang terlalu ringkas pula boleh menyebabkan mereka 'teraba-raba' mencari apakah fokus sebenar pengisian yang naqib ingin sampaikan.

Tim QG suka untuk berkongsi dengan saudara bagaimana kita boleh membahagikan masa tersebut mengikut pengisian-pengisiannya yang telah ditetapkan. Kami mengambil contoh majlis usrah yang dikendalikan selama 1 jam 30 minit. Kita bahagikan pengisian mengikut 3 bahagian iaitu bermula dengan bacaan/tafsir/tajwid Al-Quran atau hadis. Kemudian masuk kepada perbincangan tajuk-tajuk usrah yang telah disediakan contohnya menyentuh persoalan fikrah, ibadah, akhlak, feqah dan lain-lain. Kemudian diakhiri perbincangannya dengan menyentuh isu semasa atau sirah nabawiyyah. Cadangan kami adalah seperti berikut:

20 minit pertama - Membaca/tadabbur/tafsir/tajwid Al-Quran atau hadis nabi SAW
50 minit seterusnya - Membincangkan tajuk-tajuk usrah seperti bahagian fikrah, ibadah, akhlak, feqah dan lain-lain      
5 minit seterusnya - Ahli usrah diberi masa untuk membuat refreshment 
15 minit akhir - Diskusi pengajaran di sebalik isu semasa atau sirah nabi

Justeru itu, jika majlis usrah bermula pukul 7.30 malam iaitu selepas solat Maghrib, ianya akan tamat pada pukul 9.00 malam. Usrah akan menjadi semakin bermakna jika naqib dan ahli usrah boleh sama-sama solat Maghrib secara berjemaah. Apabila sahaja tamat majlis usrah, naqib dan ahli usrah boleh bersama pula untuk  solat Isyak secara berjemaah. Ini akan menguatkan lagi roh ukhuwwah Islamiyyah sesama mereka.

Idea di atas adalah fleksibel untuk saudara laksanakan mengikut kesesuaian tempat masing-masing.  Sesetengah tempat mengadakan usrah selepas solat Isyak. Ada juga diadakan pada waktu petang. Terpulanglah saudara melihat yang mana terbaik untuk dilakukannya.

Sekian sahaja perkongsian dari krew QG untuk saudara yang disayangi nabi. Mudah-mudahan ianya membantu saudara mengembangkan usrah kendalian saudara dengan lebih berkesan. Jazakallah.

Perkembangan terkini tim dan silibus QG


Alhamdulillah, tim QG telah berpeluang membuat usrah kepada grup muslimat di sebuah sekolah menengah di Kelantan. Tajuk yang ditaklifkan ialah Akhlak Qiadi & Jundi yang terdapat di dalam buku QG 4 bahagian 2. Pendekatan yang kami lakukan ialah dengan membuat tayangan video yang berkisarkan tajuk tersebut.


Kemudian, mereka diberi masa untuk mengeluarkan idea tentang apa yang mereka perolehi dari viedo tersebut. Hasilnya jadilah seperti gambar di atas. Tim QG kemudiannya membuat sedikit ulasan untuk memahamkan lagi tajuk tersebut. ^ ^

Tim QG juga telah dikunjungi oleh sahabat dari Universiti Al-Azhar, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan UIA Kuantan yang ingin bertanya lanjut tentang buku QG ini lalu terus mendapatkannya untuk dijadikan silibus usrah di dalam grup yang mereka kendali. Sahabat dari UIA Kuantan tersebut juga menyatakan sedang dalam usaha mengemaskinikan lagi usrah di sekolah yang beliau uruskan.

Tim QG mendoakan semoga usaha-usaha baik ini diberkati dan mendapat kasih sayang Allah. Tim QG juga mengalu-alukan saudara yang ingin menjemput dan bekerjasama dengan kami di dalam   membuat kebaikan kepada masyarakat kita InsyaAllah.

Sekian, terima kasih.


^^ ISLAM ITU INDAH ^^     

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...