Tuesday, November 25, 2014

5 Mutiara Hikmah Tentang Usrah

Bismillah, apa khabar semua sahabat dan pelawat setia blog Quranic Group ini? Mudah-mudahan bertambah-tambahlah kejayaan dan kebahagiaan kita semua di dunia dan akhirat. 

Entri blog QG kali ini ialah tentang kata-kata hikmah yang boleh digunakan oleh para nuqaba' untuk menguatkan semangat di dalam memperjuangkan medan usrah ini. Didoakan bermanfaat. 

Selamat membaca :) 


5 Mutiara Hikmah Tentang Usrah


"Walau bagaimanapun sibuk kita mesti bertemu. Lebih kerap kita bertemu lebih mengeratkan ukhuwwah. Punca ukhuwwah hilang sebab kurang bertemu (baca : USRAH). Banyak perkara yang boleh diselesaikan dengan adanya USRAH."
~ Ustaz Idris Ahmad

U - Untuk 
S - Semua 
R - Rasa
A - Allah 
H - Hebat

~ Hamba Allah

"Sekali-sekala tutup majlis usrah dengan berdoa di dalam bahasa Melayu menggunakan suara yang boleh didengari oleh ahli usrah. Dicadangkan doa Rabitah. In Syaa Allah kita akan lebih terasa dan dapat hayati dengan khusyuk doa tersebut. Ia berlaku apabila kita memahami setiap perkataan yang diucapkan. Ahli usrah juga akan fokus dengan doa tersebut. Berita baiknya juga ialah In Syaa Allah, Allah akan menerima doa hambaNya yang diminta dengan sepenuh hati dan perasaan, jauh sekali dengan hati yang lalai."
~ Mujahid

"Suka dengan kenyataan murabbi yang menyebut jika mahu memulihkan hubungan persaudaraan sesama muslim dan mengendurkan ketegangan sekiranya berlaku perbalahan dengannya, baca doa Rabitah sambil membayangkan wajah saudara tersebut. In Syaa Allah berkesan dan kemudian solusi untuk perdamaian akan dapat ditemui."
~ Murabbi

"Beritahulah mereka yang saudara sayangkan mereka. Sayang ini kena tunjuk, kena buat dan kena beritahu. Disebabkan itulah Rasulullah SAW suruh beritahu bila kita sayangkan seseorang (tidak terpakai kepada group usrah yang berlainan jantina). Beritahu betul-betul sayang saudara pada mereka biar sampai kepada hati mereka. Biarlah mereka rasa yang ada orang lain selain keluarga mereka yang jaga mereka, sayang mereka dan sentiasa bersedia bersama mereka."
~ Naqib

Wallahualam. Astaghfirullah.

Monday, September 29, 2014

Testimoni Program Kendalian Quranic Group




Alhamdulillah majoriti peserta yang terdiri daripada naqib/naqibah dari UiTM Kelantan yang mengikuti kursus ini berpuas hati dengan perkongsian yang diberikan.

Antara item yang dikongsikan ialah:
1 - Sejarah dan perkembangan terkini isu semasa berkaitan bagusnya usrah sebagai sistem sokongan ke arah memperkasakan ummah.
2 - Pelajari teknik NLP di dalam mengenalpasti dan bagaimana 'tackle' mad'u usrah
3 - 3 tips utama di dalam memastikan perkongsian ilmu di dalam usrah berjalan dengan seronok dan ceria

Sama-sama kita doakan mudah-mudahan Allah mempermudahkan urusan kita di dalam memastikan perjalanan usrah berjalan lancar.

Hubungi - 0134058718 sekiranya saudara-saudari di luar sana memerlukan bantuan khidmat latihan sebagaimana yang dilalui oleh sahabat-sahabat kita di atas. Kami teruja dan gembira sekiranya diberi peluang berkongsi dan belajar dari naqib/naqibah di tempat saudara-saudari.

Wallahualam. Astaghfirullah.

Tuesday, September 2, 2014

#6 Modul Usrah : Bangunkan Gergasi Dalam Diri Mad'u!


Bismillah, salam ukhuwwah buat semua sahabat dan pelawat setia blog Quranic Group ini. Didoakan kita semua sentiasa di dalam rahmat dan keberkatan Allah SWT. 
Entri terbaru blog QG kali ini ialah: 

1. Perkongsian aktiviti modul di dalam kumpulan usrah bertajuk 'Bangunkan Gergasi Di Dalam Diri Mad'u!' yang menceritakan tentang teknik mencungkil dan memotivasikan ahli kumpulan usrah kita bahawa mereka insan yang luar biasa.
2. Perkembangan terkini tim dan silibus QG 

Selamat membaca :)

Bangunkan Gergasi Di Dalam Diri Mad'u!

Peralatan yang diperlukan : Pen dan kertas

Bil
Objektif
1
Mencungkil bakat dan kelebihan diri setiap ahli usrah
2
Menguatkan semangat dan motivasi ahli usrah untuk berbakti kepada ummah
3
Menumbuhkan kecintaan sesama ahli usrah kerana Allah SWT

Kaedah perlaksanaan :

1 - Naqib/naqibah meminta ahli usrah dapatkan pasangan masing-masing dan duduk secara berdua dengannya di dalam kumpulan.

2 - Naqib/naqibah meminta setiap ahli usrah untuk menulis 4 kelebihan/keistimewaan yang beliau tahu yang ada di dalam diri pasangan masing-masing. Masa diberikan selama 5 minit untuk menyelesaikan tugasan ini.

3 - Naqib/naqibah meminta setiap ahli usrah untuk baca kelebihan/keistimewaan tersebut di hadapan pasangannya itu dengan sepenuh emosi dan perasaan. Kemudian diikuti oleh pasangannya untuk membacakan kepada beliau. Selepas itu, naqib/naqibah meminta ahli usrah memberikan cadangan kepada setiap pasangannya bagaimana mengembangkan lagi kelebihan/keistimewaan yang dimiliki oleh mereka.

4 - Aktiviti ini diakhiri dengan naqib/naqibah meminta mereka saling bersalam-salaman dan memeluk erat antara satu sama lain sambil mengucapkan, "In Syaa Allah, kita boleh!"

Didoakan dengan mempraktikkan aktiviti ini akan menyebabkan ahli usrah semakin berkobar-kobar mengikuti usrah dan menyedari kekuatan yang ada di dalam dirinya guna memanfaatkan untuk ummah. Lantas merasakan tanggungjawab daie yang dipikul mesti dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Amin! 

Perkembangan Terkini Tim & Silibus QG


Alhamdulillah buku QG telah menerima tempahan dari sahabat di Kolej Islam Darul Ulum (KIDU) Kedah, SM Sains Machang Kelantan dan beberapa orang pendidik di Selangor dan Negeri Sembilan.

Tim QG mendoakan perjalanan usrah mereka berjalan lancar dan mempunyai nilai tambah dengan adanya buku ini InsyaAllah. Bagi saudara yang berminat, boleh terus rujuk button 'Tentang QG' di atas. Dan kepada yang ingin mengetahui senarai sahabat-sahabat yang pernah melanggan QG ini, boleh rujuk button 'Pelanggan Kami' juga di atas.

Sekiranya saudara ingin posting setiap entri di dalam blog ini terus meluncur masuk ke dalam email saudara secara automatik sebaik sahaja blog ini diupdate, saudara dijemput untuk memasukkan email di dalam ruangan 'DAPATKAN MAKLUMAT TERKINI' di bahagian kanan blog ini. Sistem 'Feedburner' akan membantu memudahkan urusan penyampaian maklumat kepada saudara InsyaAllah.

Tim QG mendoakan semoga usaha-usaha baik ini diberkati dan mendapat kasih sayang Allah. Tim QG juga mengalu-alukan saudara yang ingin menjemput dan bekerjasama dengan kami di dalam   membuat kebaikan kepada masyarakat kita InsyaAllah.

Sekian, jazakallah khairan kathira.

^^ Mencari Hikmah Untuk Ummah ^^   

Saturday, May 3, 2014

9 Cetusan Rasa Murabbi Ummah


Bismillah, salam ukhuwwah buat semua sahabat dan pelawat setia blog Quranic Group ini. Mudah-mudahan bertambah-tambahlah kejayaan dan kebahagiaan kita semua di dunia dan akhirat.

Entri blog QG kali ini ialah tentang artikel 9 Cetusan Rasa Murabbi Ummah sebagai taujihat kepada naqib-naqibah yang dirahmati Allah dan dicintai nabi.


Selamat membaca :)

9 Cetusan Rasa Murabbi Ummah

1 ~ “NAQIB, satu nama atau ungkapan yang diberikan pengiktirafan oleh Al-Quran. Sungguh, menyayangi dan disayangi sebagai seorang naqib merupakan satu rasa yang sangat sukar untuk digambarkan. Hanya Allah Yang Maha Tahu  ‘rasa’ itu. Ianya hadir dengan sebuah tanggungjawab dan amanah yang besar.

2 ~ Nikmatilah ‘rasa’ itu, andai Allah telah memilih untuk merezekikan kita dengan kenikmatan itu. Jaga, hargai dan suburkanlah ‘rasa’ itu sebaik-baiknya kerana ianya satu nikmat yang dianugerahkan hanya buat mereka yang terpilih sahaja. Sedarilah bahawa sekurang-kurangnya dengan ‘rasa’ itu, satu kaki telah menapak ke arah bayangan arasy Allah di akhirat kelak. Di dalam suasana keributan Mahsyar yang menakutkan, di sana ada syafaat dan pertolongan buat yang naqib yang memiliki ‘rasa’ tersebut.

3 ~ Ketahuilah bahawa ‘rasa’ tersebut ialah kemanisan iman!”

4 ~ “ ‘Sentuhlah’ hati ahli usrah saudara kerana di situlah bermula segala-galanya. Binalah rasa kasih dan sayang saudara buat mereka. Jika saudara rasa saudara perlu banyak berkorban kerana ini, maka buatlah kerana ianya bukanlah pelaburan yang sia-sia. Jadilah abang/kakak kepada mereka, bukan naqib halaqah semata-mata. Usahakanlah untuk jadi abang/kakak yang lebih baik dari saudara kandung mereka dari segi memberi perhatian, bantuan,luahan perasaan dan sebagainya.

5 ~ Hidupkan jiwa ahli usrah dgn nasihat dan percakapan yang baik-baik. Jangan pernah berkira dengan mereka sama ada masa, tenaga, kewangan dan sebagainya kerana cukuplah Allah yang mengira semua yang kita laburkan untuk akhirat itu. Lazimi bertanya khabar, akademik,keluarga dan sebagainya.

6 ~ Beritahulah mereka yang saudara sayangkan mereka. Sayang ini kena tunjuk, kena buat dan kena beritahu. Disebabkan itulah Rasulullah SAW suruh beritahu bila kita sayangkan seseorang (tidak terpakai kepada group usrah yang berlainan jantina). Beritahu betul-betul sayang saudara pada mereka biar sampai kepada hati mereka. Biarlah mereka rasa yang ada orang lain selain keluarga mereka yang jaga mereka, sayang mereka dan sentiasa bersedia bersama mereka.

7 ~ Jika saudara ada naqib yang menjaga saudara sampai ke saat ini, maka berbuat baiklah kepada naqib saudara, hormati mereka, sayangi dan hargailah mereka kerana apa yang saudara buat akan dikembalikan pada saudara juga. Jika saudara ikhlas menyayangi naqib saudara, maka In Syaa Allah rasa yang sama akan Allah anugerahkan pada ahli usrah saudara.

8 ~ Bersiap sedialah untuk ahli usrah saudara. Susah dan senang bersama. Jika ada rezeki, SMSlah sekerap yang boleh, bercakap dan dengarlah suara mereka supaya mereka juga mendengar suara saudara. Suara yang baik, diisi dengan nasihat yang baik akan menatijahkan hasil yang baik. Jangan pernah ragu dengan kuasa doa. Ianya kekuatan yang maha dahsyat dalam kehidupan para mu'min. Sebutlah nama ahli usrah masing-masing dalam doa saudara. Pohon hatinya Allah ‘beri’kan kepada saudara dan saudara mampu bawa hati saudara dan hati mereka kepada Allah.

9 ~ Jagalah amanah ini, nescaya Allah akan menjaga saudara dunia dan akhirat. Fi Amanillah adik-adik nuqaba' yang sangat dikasihi kerana Allah!”

Monday, April 14, 2014

#5 Modul Usrah : Tak Kenal Maka Tak Cinta


Bismillah, salam ukhuwwah buat semua sahabat dan pelawat setia blog Quranic Group ini. Mudah-mudahan bertambah-tambahlah kejayaan dan kebahagiaan kita semua di dunia dan akhirat.

Entri blog QG kali ini ialah tentang artikel modul Tak Kenal Maka Tak Cinta yang boleh digunakan oleh para nuqaba' untuk menumbuhkan kecintaan sesama ahli usrah kerana Allah SWT.

Selamat membaca :)

Tak Kenal Maka Tak Cinta

Anas R.A mengatakan bahawa seorang berada di sisi Rasulullah SAW, lalu salah seorang sahabat melewatinya. Orang yang berada di sisi Rasulullah SAW tersebut mengatakan, “Aku mencintai dia, ya Rasulullah.” Lalu Nabi bersabda, “Apakah kamu sudah memberitahukan dia?” Orang itu menjawab, “Belum.” Kemudian Rasulullah SAW bersabda, “Beritahukan kepadanya.” Lalu orang tersebut memberitahukannya dan berkata, “Sesungguhnya aku mencintaimu karena Allah.” Kemudian orang yang dicintai itu menjawab, “Semoga Allah mencintaimu karena engkau mencintaiku keranaNya.” (Riwayat Abu Dawud dengan sanad shahih)

Berdasarkan hadis di atas, kita boleh memahami bahawa itulah antara ucapan terbaik yang dianjurkan untuk dilafazkan kepada mereka yang bersaudara serta berkasih sayang kerana Allah. Ianya sudah pasti mengukuhkan hubungan silaturrahim di antara 2 orang yang bersaudara. Persoalannya, sudahkah naqib/naqibah dan ahli usrah yang membaca artikel ini mengamalkan ucapan tersebut di dalam kumpulan usrah masing-masing? Dan sejauh manakah kita mengambil peluang mengenali dan merapati ahli kumpulan usrah dengan mengharapkan kebaikan mereka?

Artikel kali ini menyediakan satu aktiviti yang boleh dilakukan di dalam kumpulan usrah sebagai memenuhi apa yang telah dinyatakan tadi. Selamat mencuba!      

Aktiviti : Tak Kenal Maka Tak Cinta

Peralatan yang diperlukan : Tiada
Kaedah penyampaian : Aktiviti berkumpulan

Bil
Objektif
1
Memberikan maklum balas terhadap diri orang lain
2
Kesedaran tentang diri sendiri dari sudut pandangan orang lain
3
Menumbuhkan kecintaan sesama ahli usrah kerana Allah SWT

Kaedah perlaksanaan :

1.      Naqib/naqibah mengarahkan supaya ahli usrah duduk dalam satu bulatan kecil.

2.      Naqib/naqibah meminta seorang ahli usrah duduk di tengah-tengah bulatan.

3.      Setiap ahli usrah diminta memberi tanggapan tentang ahli usrah yang duduk di tengah-tengah bulatan tersebut.

4.      Ahli usrah dilarang untuk memberi kritikan yang berbentuk penghinaan atau yang boleh menjatuhkan maruah seseorang.

5.      Apabila semua ahli usrah telah memberikan tanggapan mereka, seorang ahli usrah yang baru mengambil alih tempat di tengah-tengah dan menggantikan ahli tadi.

6.      Proses tadi diulang sehingga semua ahli usrah dapat maklum balas daripada ahli-ahli usrah yang lain.

7.      Setelah selesai, naqib/naqibah meminta ahli usrah memberi pendapat tentang aktiviti tersebut.

8.      Naqib/naqibah membuat rumusan aktiviti:
·         Tiada manusia biasa yang sempurna di dunia ini.
·         Setiap insan perlu tabah menghadapi apa juga kritikan orang lain.
·         Setiap yang hidup pasti menghadapi dugaan.
·         Setiap manusia pasti ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.

9.      Sebagai akhirnya, semua ahli usrah termasuk naqib/naqibah diminta untuk mengucapkan “Saya sayang ___ kerana Allah” dengan penuh penghayatan kepada setiap orang. Tempat kosong tersebut merujuk kepada nama ahli usrah tersebut.

Didoakan dengan mempraktikkan aktiviti ini akan menyebabkan perpaduan sesama ahli usrah semakin utuh dan kuat. Ia menunjukkan luar biasa ukhuwah yang dijana kerana mereka berkenal-kenalan antara satu sama lain di atas sebab cinta kerana Allah dan sayangkan saudara mereka yang kuat pegangan agamanya itu. In Syaa Allah. 

Monday, March 10, 2014

Takut Bercakap Dalam Usrah?


[Situasi Dalam Majlis Usrah]

Naqib  : Ok, berdasarkan tayangan tadi, abang nak minta pandangan Fahmi. Boleh dik?

Fahmi  : Err, tak boleh bang. Saya tak pandailah nak bagi-bagi pandangan ni. Bagi Zamri lah.

Naqib  : Kamu faham kan cerita tadi Fahmi?

Fahmi  : Ya faham bang. Cuma, tak retilah nak cakap macam mana. Tengok jer bolehlah. Lagipun rasa berdebar pula. Bagi sahabat-sahabat lain dululah bang…

Zamri  : Ala kau ni Fahmi. Cakap jelah apa yang kau faham tu. Takkan tak boleh. Sikit pun jadilah.

Fahmi    : Err..ok, cakap sikit jer boleh bang?

Naqib  : Ya, boleh dik. Cakaplah.

Fahmi  : Ok, apa yang saya faham dari tayangan tadi…

***

Usrah Tempat Mengasah Kemahiran Bercakap

Salah satu keunikan majlis ilmu melalui usrah ialah ia boleh menjadi medium berkesan untuk mengasah bakat dan kemahiran ahli-ahlinya di dalam bercakap. Bagaimana? Iaitu dengan naqib dan naqibah boleh fokus secara terus dan personal kepada setiap ahli-ahli usrahnya. Tambahan pula medan usrah lebih kecil sasaran dakwahnya. Ia berbeza dengan pendekatan kuliah dan ceramah yang mana medannya lebih luas.

Beza Usrah Dengan Kuliah/Ceramah
Usrah
Kuliah/Ceramah
Berlaku 2 hala
Berlaku 1 hala
Bilangan mad’u yang kecil
Bilangan mad’u tanpa batas
Boleh fokus terus kepada setiap mad’u
Sukar untuk fokus setiap mad’u
Fleksibel, boleh dibuat di mana-mana
Perlu tempat yang sesuai dengan kapasiti mad’u

Berdasarkan dialog di atas, ia menunjukkan situasi bagaimana Fahmi yang mulanya agak gementar untuk bercakap di dalam usrah. Hasil peluang dari naqib dan sokongan dari kawannya Zamri, beliau akhirnya berjaya mengatasi perasaan ketakutan yang ada pada dirinya. Itu ialah contoh bagaimana usrah boleh menjadi platform yang baik untuk permulaan membina skill bercakap, berbanding diminta bercakap di dalam ceramah atau kuliah yang sudah pasti suasananya yang ramai akan lebih menggerunkan!

Walaupun begitu, melalui beberapa pemerhatian kita, ketika diberi peluang oleh naqib/naqibah, ada juga sebahagian remaja yang masih takut-takut untuk bercakap sama ada untuk memberikan pandangan mahupun ketika diminta melontarkan idea. Untuk itu, di sini dikongsikan beberapa rasional dan kelebihan tidak perlu takutnya kita di dalam bersuara memberikan pandangan:











Sebagai akhirnya, untuk memohon kepada Allah dipermudahkan urusan berkongsi kebaikan, sama-sama kita amalkan doa yang pernah dibaca oleh Nabi Musa AS ketika mahu berdepan dengan Firaun, si penguasa Mesir yang zalim itu. Kisah ini juga menjadi hujah pentingnya kita menggilap seni komunikasi kita, kerana kita belum tahu mungkin suatu hari nanti akan tiba waktunya giliran kita pula untuk berkata benar di hadapan pemimpin yang zalim!

Doa Dilapangkan Hati & Dimudahkan Urusan

Dia (Musa) berkata, “Ya Tuhanku lapangkanlah dadaku, dan mudahkanlah untukku urusanku, dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku, agar mereka mengerti perkataanku.”
(Surah Taha 20: 25-28)

Saturday, February 15, 2014

Sekitar Program Memperkasakan Nuqaba' Usrah


Bismillah, salam ukhuwwah buat semua sahabat dan pelawat setia blog Quranic Group ini. Mudah-mudahan bertambah-tambahlah kejayaan dan kebahagiaan kita semua di dunia dan akhirat.

Entri blog QG kali ini ialah: 

1. Gambar-gambar sekitar program memperkasakan nuqaba' untuk usrah sekolah di Kelantan kendalian tim QG.

2. Perkembangan terkini silibus usrah QG. 

Selamat membaca :)

Sekitar Program Memperkasakan Nuqaba'

Alhamdulillah tim QG telah diberi kepercayaan oleh pihak Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Falahiah (SMKAF) dan Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah untuk mengendalikan slot memperkasakan nuqaba' sekolah mereka. Ada pengisian khas yang telah diberikan kepada kami. Ianya seperti berikut:


 Ceramah 'Memahami & Menghayati Usrah Berjaya' di Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah


Bengkel Nuqaba' Super di SMKA Falahiah 


Bengkel Nuqaba' Super di SMKA Falahiah

Sama-sama kita doakan yang terbaik terhadap perjalanan usrah yang akan mereka kendalikan tahun ini In Syaa Allah. Amin.

Kata seorang naqib, "Kejayaan Sebenar Seorang Naqib/Naqibah Ialah Apabila Beliau Dapat Mengkaderkan Ahli Usrah Yang Lebih Hebat Berjuang Daripada Beliau."

Perkembangan terkini tim silibus QG


Untuk pengetahuan para pembaca, buku QG 1 bahagian 1 ini telah kehabisan stok kerana mendapat sambutan yang menggalakkan dari sekolah-sekolah yang ingin memulakan usrah pada tahun ini. Oleh itu pihak tim QG sedang menunggu stok baru yang dijangka sampai pada minggu depan In Syaa Allah. Sebaik sahaja stoknya ada, kami In Syaa Allah akan hubungi secepat mungkin saudara-saudari yang telah membuat tempahan.

Segala kesulitan sekiranya ada kesulitan di pihak saudara-saudari kami mohon maaf banyak-banyak.

Tim QG mendoakan mudah-mudahan usaha-usaha ini diberkati dan mendapat kasih sayang Allah. Tim QG juga mengalu-alukan saudara-saudari yang ingin menjemput dan bekerjasama dengan kami di dalam   membuat kebaikan kepada masyarakat kita InsyaAllah. 

p/s: Sekiranya saudara ingin posting setiap entri di dalam blog ini terus meluncur masuk ke dalam email saudara secara automatik sebaik sahaja blog ini diupdate, saudara dijemput untuk memasukkan email di dalam ruangan 'DAPATKAN MAKLUMAT TERKINI' di bahagian kanan blog ini. Sistem 'Feedburner' akan membantu memudahkan urusan penyampaian maklumat kepada saudara InsyaAllah.

Sekian, kami suka!

^^ Mencari Hikmah Untuk Ummah ^^   

Sunday, January 19, 2014

Kemahiran Mendidik Di Dalam Usrah


Bismillah, salam ukhuwwah buat semua sahabat dan pelawat setia blog Quranic Group ini. Didoakan kita semua sentiasa di dalam rahmat dan keberkatan Allah SWT. 
Entri terbaru blog QG kali ini ialah: 

1. Artikel bertajuk 'Kemahiran Mendidik Di Dalam Usrah' yang berkongsi tentang teknik dan peringkat-peringkat dalam proses didikan tarbiah Rasulullah SAW. In Syaa Allah boleh dijadikan koreksi bersama naqib/naqibah di dalam menjalankan usrah masing-masing.
2. Perkembangan terkini tim dan silibus QG 

Selamat membaca :)

Kemahiran Mendidik Di Dalam Usrah

Mendidik Gaya Rasulullah SAW 

Jika disingkap kembali sejarah proses tarbiah melalui usrah, kita dapat mengetahuinya bahawa ia dimulakan oleh nabi kita Muhammad SAW. Kesukaran dan kesulitan baginda SAW mengadakan usrah bersama para sahabat di rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam boleh membuatkan kita khususnya naqib dan naqibah rasa malu dan serba salah jika tidak buat usrah dengan seserius mungkin, sebagaimana seriusnya Rasulullah SAW.

Oleh sebab itu, sebagai naqib/naqibah, menjadikan Baginda SAW sebagai contoh ikutan dalam mengendalikan mad’u (sasaran dakwah) kita ialah merupakan satu kewajipan dan bukannya pilihan. Hal ini dinyatakan sendiri oleh Allah SWT di dalam Al-Quran yang bermaksud “Sesungguhnya pada diri Rasulullah terdapat suri teladan yang baik bagi sesiapa sahaja yang mengharapkan (pertemuan dengan) Allah dan hari akhirat serta banyak mengingati Allah.” (Surah Al-Ahzab 33: 21)

Apakah istimewanya cara Rasulullah SAW di dalam mendidik para mad’unya? Di dalam buku Al-Rasul Al-Muallim wa Asalibuhu fi Al-Ta’lim karangan Sheikh Abdul Fattah Abu Ghuddah, kita boleh mendapati bermacam teknik didikan yang digunakan oleh Baginda SAW. Antaranya ialah:

  • ·         Mengulang penjelasan dan mengakhiri penjelasan dengan suatu jawapan
  • ·         Memilih kesempatan yang tepat dalam memberikan pengajaran
  • ·         Memerhati situasi dan keadaan mad’u
  • ·         Mendidik secara berperingkat
  • ·         Memberi contoh melalui teladan dan akhlak mulia 
  • ·         Mengajukan pertanyaan untuk mengetahui sejauh mana kefahaman mad’u
  • ·         Menggunakan analogi atau perumpamaan dalam pengajaran

Melalui teknik didikan gaya Rasulullah SAW tersebut, naqib dan naqibah boleh mempraktikkannya di dalam usrah yang kita jalankan. Selain itu, kita juga boleh mengambil inspirasi daripada 10 kaedah fiqh dakwah dari buku Ad-Da’wah: Qawaid wa Ushul (Dakwah : Kaedah dan Usul) karangan Sheikh Juma’ah Amin. Beliau telah merangka proses didikan sebagaimana berikut:

  1. ·         Menunjukkan teladan sebelum berdakwah
  2. ·         Mengikat hati sebelum memperkenalkan
  3. ·         Memperkenalkan sebelum memberi tugas
  4. ·         Bertahap dalam memberikan tugasan
  5. ·         Memudah bukan menyusahkan
  6. ·         Memulakan yang pokok sebelum cabang
  7. ·         Memberi harapan sebelum ancaman
  8. ·         Memberi kefahaman bukan menyampaikan semata-mata
  9. ·         Pendidikan bukan menunjukkan keburukan
  10. ·         Murid kepada guru bukan murid kepada buku

Justeru itu, apabila kita dapat menguasai kemahiran didikan ini, In Syaa Allah perjalanan usrah kita akan bertambah lancar lantas memberikan kesan yang hebat. Sekiranya ia konsisten dilaksanakan, semakin ramai mad’u yang berkualiti dapat dihasilkan dan masyarakat kita akan semakin berkembang dalam suasana kebaikan. Mudah-mudahan usaha-usaha ini dapat mengembalikan terhasilnya umat Islam yang dapat menguasai 2/3 dunia sebagaimana yang terukir di dalam sejarah!     

Wallahualam. Astaghfirullah.

Perkembangan terkini tim dan silibus QG

Berikut ialah tempahan-tempahan yang telah dibuat oleh rakan-rakan usrah kita:


 120 unit ke Arau, Perlis dan 1 set ke Kuala Terengganu


Lebih 1000 unit ke Selama, Perak


Hampir 200 unit ke MRSM di utara tanahair


Tim QG mendoakan buku-buku tersebut dapat membantu rakan-rakan sekalian di dalam memperkasakan pengisian usrah di tempat masing-masing.

Tim QG mendoakan perjalanan usrah mereka berjalan lancar dan mempunyai nilai tambah dengan adanya buku ini InsyaAllah. Bagi saudara yang berminat, boleh terus rujuk button 'Tentang QG' di atas. Dan kepada yang ingin mengetahui senarai sahabat-sahabat yang pernah melanggan QG ini, boleh rujuk button 'Pelanggan Kami' juga di atas.

Tim QG mendoakan semoga usaha-usaha baik ini diberkati dan mendapat kasih sayang Allah. Tim QG juga mengalu-alukan saudara yang ingin menjemput dan bekerjasama dengan kami di dalam   membuat kebaikan kepada masyarakat kita InsyaAllah.

Sekian, jazakallah khairan kathira.

^^ Mencari Hikmah Untuk Ummah ^^   

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...