Monday, April 14, 2014

#5 Modul Usrah : Tak Kenal Maka Tak Cinta


Bismillah, salam ukhuwwah buat semua sahabat dan pelawat setia blog Quranic Group ini. Mudah-mudahan bertambah-tambahlah kejayaan dan kebahagiaan kita semua di dunia dan akhirat.

Entri blog QG kali ini ialah tentang artikel modul Tak Kenal Maka Tak Cinta yang boleh digunakan oleh para nuqaba' untuk menumbuhkan kecintaan sesama ahli usrah kerana Allah SWT.

Selamat membaca :)

Tak Kenal Maka Tak Cinta

Anas R.A mengatakan bahawa seorang berada di sisi Rasulullah SAW, lalu salah seorang sahabat melewatinya. Orang yang berada di sisi Rasulullah SAW tersebut mengatakan, “Aku mencintai dia, ya Rasulullah.” Lalu Nabi bersabda, “Apakah kamu sudah memberitahukan dia?” Orang itu menjawab, “Belum.” Kemudian Rasulullah SAW bersabda, “Beritahukan kepadanya.” Lalu orang tersebut memberitahukannya dan berkata, “Sesungguhnya aku mencintaimu karena Allah.” Kemudian orang yang dicintai itu menjawab, “Semoga Allah mencintaimu karena engkau mencintaiku keranaNya.” (Riwayat Abu Dawud dengan sanad shahih)

Berdasarkan hadis di atas, kita boleh memahami bahawa itulah antara ucapan terbaik yang dianjurkan untuk dilafazkan kepada mereka yang bersaudara serta berkasih sayang kerana Allah. Ianya sudah pasti mengukuhkan hubungan silaturrahim di antara 2 orang yang bersaudara. Persoalannya, sudahkah naqib/naqibah dan ahli usrah yang membaca artikel ini mengamalkan ucapan tersebut di dalam kumpulan usrah masing-masing? Dan sejauh manakah kita mengambil peluang mengenali dan merapati ahli kumpulan usrah dengan mengharapkan kebaikan mereka?

Artikel kali ini menyediakan satu aktiviti yang boleh dilakukan di dalam kumpulan usrah sebagai memenuhi apa yang telah dinyatakan tadi. Selamat mencuba!      

Aktiviti : Tak Kenal Maka Tak Cinta

Peralatan yang diperlukan : Tiada
Kaedah penyampaian : Aktiviti berkumpulan

Bil
Objektif
1
Memberikan maklum balas terhadap diri orang lain
2
Kesedaran tentang diri sendiri dari sudut pandangan orang lain
3
Menumbuhkan kecintaan sesama ahli usrah kerana Allah SWT

Kaedah perlaksanaan :

1.      Naqib/naqibah mengarahkan supaya ahli usrah duduk dalam satu bulatan kecil.

2.      Naqib/naqibah meminta seorang ahli usrah duduk di tengah-tengah bulatan.

3.      Setiap ahli usrah diminta memberi tanggapan tentang ahli usrah yang duduk di tengah-tengah bulatan tersebut.

4.      Ahli usrah dilarang untuk memberi kritikan yang berbentuk penghinaan atau yang boleh menjatuhkan maruah seseorang.

5.      Apabila semua ahli usrah telah memberikan tanggapan mereka, seorang ahli usrah yang baru mengambil alih tempat di tengah-tengah dan menggantikan ahli tadi.

6.      Proses tadi diulang sehingga semua ahli usrah dapat maklum balas daripada ahli-ahli usrah yang lain.

7.      Setelah selesai, naqib/naqibah meminta ahli usrah memberi pendapat tentang aktiviti tersebut.

8.      Naqib/naqibah membuat rumusan aktiviti:
·         Tiada manusia biasa yang sempurna di dunia ini.
·         Setiap insan perlu tabah menghadapi apa juga kritikan orang lain.
·         Setiap yang hidup pasti menghadapi dugaan.
·         Setiap manusia pasti ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.

9.      Sebagai akhirnya, semua ahli usrah termasuk naqib/naqibah diminta untuk mengucapkan “Saya sayang ___ kerana Allah” dengan penuh penghayatan kepada setiap orang. Tempat kosong tersebut merujuk kepada nama ahli usrah tersebut.

Didoakan dengan mempraktikkan aktiviti ini akan menyebabkan perpaduan sesama ahli usrah semakin utuh dan kuat. Ia menunjukkan luar biasa ukhuwah yang dijana kerana mereka berkenal-kenalan antara satu sama lain di atas sebab cinta kerana Allah dan sayangkan saudara mereka yang kuat pegangan agamanya itu. In Syaa Allah. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...