Tuesday, April 16, 2013

Menjadi Ahli Usrah Yang Disayangi


Bismillah, salam ukhuwwah buat semua sahabat dan pelawat setia blog Quranic Group ini. Didoakan kita semua sentiasa di dalam rahmat dan keberkatan Allah SWT. 


Entri terbaru blog QG kali ini ialah: 

1. Artikel bertajuk 'Menjadi Ahli Usrah Yang Disayangi' yang berkongsi tentang bagaimana mahu menjadikan diri kita disayangi dan dihormati oleh oleh orang lain.
2. Perkembangan terkini tim dan silibus QG 

Selamat membaca :)

Menjadi Ahli Usrah Yang Disayangi

"Dakwah kita mesti dengan rasa kasih"
"Tunjukkan rasa cinta kepada mad'u kita"
"Jadilah duta penyelamat dan kasih sayang kepada masyarakat"

Itulah antara bait-bait kalimah yang pernah diucapkan oleh beberapa orang murabbi dakwah terkenal dalam negara ini. Mereka tidak pernah jemu-jemu mengingatkan anak didiknya supaya menyampaikan mesej Islam dengan bersalutkan rasa kasih dan sayang serta sentiasa berusaha memberi manfaat kepada orang lain. Ia antara rahsia bagaimana seseorang itu boleh mendapat balik rasa cinta dan sayang dari orang lain.

Jika mahu disayangi orang, sayangilah orang lain dulu.
Jika mahu dihormati orang, hormatilah orang lain dulu.
Jika mahu dikasihi orang, kasihilah orang lain dulu.

Bak kata pepatah Barat, 'What you give, you get back'.

Malah, Nabi Muhammad SAW ada bersabda:

أحب الناس إلى الله  أنفعهم للناس
"Manusia yang dicintai Allah ialah mereka yang bermanfaat untuk manusia"
(Riwayat Al-Baihaqi)

Untuk ruangan kali ini, tim QG ingin berkongsi tip 5S bagaimana menjadi ahli usrah yang disayangi. Ianya diambil dan dibuahsuai dari seorang ilmuan terkenal negara kita iaitu Prof Dr Muhaya. Mahu tahu apa itu 5S? Teruskan membaca ya! :)

S1 - SENYUM

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Janganlah kamu meremehkan kebaikan apa pun, walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang manis." Senyuman di wajah dapat menggembirakan hati sesiapa yang melihatnya apatah lagi jika ia lahir dari hati yang ikhlas dan bersih pasti akan memberikan ketenangan seperti senyuman para alim ulama'. Perkataan 'senyum' itu pun sudah menggamit hati kita untuk tersenyum bukan? :) 

S2 - SALAM

Memberi salam ialah amalan yang sangat disukai oleh Allah dan Rasulullah SAW. Sebelum masuk dalam halaqah usrah, kita dianjurkan untuk memberi salam kerana ianya doa selamat secara tidak langsung kita kepada ahli-ahli usrah yang lain. Kemesraan antara kita dengan mereka akan bertambah-tambah apabila ia disertai pula dengan berjabat tangan penuh erat dan senyuman yang menawan.

S3 - SAPA

Ia penting untuk mengelakkan kita dianggap sombong oleh orang lain. Bertegur sapa boleh menukarkan perasaan negatif orang lain kepada positif terhadap kita. Biasanya orang akan malu alah kepada kita jika kita menyapanya terlebih dahulu. Dalam konteks usrah pula, ia akan menguatkan tali silaturrahim sesama ahli usrah.

S4 - SOPAN

Memelihara tutur kata dan tingkah laku dengan sopan akan membuatkan orang lain hormat dan tertarik terhadap kita. Ia mencerminkan akhlak kita sama ada baik atau buruk. Orang yang tidak kenal erti sopan akan dipandang jelek dan susah untuk mendapat ramai kawan yang baik. Ahli usrah juga pasti akan kurang selesa jika seseorang itu kurang sopan di dalam majlis usrah mahupun di dalam aktiviti-aktiviti bersama.

S5 - SANTUN

Contoh perbuatan yang menunjukkan kita menyantuni ahli usrah ialah seperti:
~ Minta izin untuk menjawab panggilan telefon ketika kita sedang berbual-bual dengan mereka.
~ Ketika bermesyuarat, tidak selalu melihat jam kerana ia boleh mengundang ketidakselesaan ahli lain.
~ Mencari tempat yang sesuai jika ingin meludah. Bukannya meludah di depan khalayak.
~ Bertanya khabar sesama ahli usrah ketika bertemu.

Mudah-mudahan perkongsian di atas dapat membantu memberi nilai tambah di dalam usrah rakan-rakan pembaca sekalian. Tips tersebut juga boleh digunakan untuk kita yang mahu menjalankan dakwah di dalam lapangan masyarakat yang lebih luas InsyaAllah.


Perkembangan terkini tim dan silibus QG

Untuk makluman para pelanggan setia buku QG, stok terkini Quranic Group 2 bahagian 2 sudah sampai. Jadi kepada mereka yang tertanya-tanya, sudah boleh mula membuat tempahan ya.

Alhamdulillah buku QG telah menerima tempahan dari seorang pendidik di SMK Pekan, Kota Belud, Sabah. Dan juga tempahan dari seorang pensyarah di UiTM Dungun serta pelajar dari Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Kedah.

Tim QG mendoakan perjalanan usrah mereka berjalan lancar dan mempunyai nilai tambah dengan adanya buku ini InsyaAllah. Bagi saudara yang berminat, boleh terus rujuk button 'Tentang QG' di atas. Dan kepada yang ingin mengetahui senarai sahabat-sahabat yang pernah melanggan QG ini, boleh rujuk button 'Pelanggan Kami' juga di atas.

Tim QG mendoakan semoga usaha-usaha baik ini diberkati dan mendapat kasih sayang Allah. Tim QG juga mengalu-alukan saudara yang ingin menjemput dan bekerjasama dengan kami di dalam   membuat kebaikan kepada masyarakat kita InsyaAllah.

Sekian, jazakallah khairan kathira.

^^ Mencari Hikmah Untuk Ummah ^^   
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...