Tuesday, December 18, 2012

#2 Modul Usrah - Sharing Moment Graph


Bismillah, salam ukhuwwah buat semua sahabat dan pelawat setia blog Quranic Group ini. Mudah-mudahan bertambah-tambahlah kejayaan dan kebahagiaan kita semua di dunia dan akhirat.


Entri blog QG kali ini ialah: 

1. Artikel Modul Ta'aruf Dalam Usrah yang boleh digunakan oleh para nuqaba'
2. Perkembangan terkini tim dan silibus QG 

Selamat membaca :)

Modul Ta'aruf Dalam Usrah

As-Syahid Imam Hasan Al-Banna, pelopor usrah abad moden telah menggariskan usrah ini terbahagi kepada 3 rukun iaitu:

Rukun 1 - Ta'aruf (berkenal-kenalan)
Rukun 2 - Tafahum (faham-memahami)
Rukun 3 - Takaful (tolong-menolong)

Untuk ruangan kali ini, tim QG suka untuk berkongsi dengan para pembaca satu aktiviti bermodul yang boleh kita lakukan semasa kita mengendalikan proses rukun 1 dalam usrah itu. Selamat menjayakannya! =)

Nama modul - Sharing Moment Graph

Objektif modul :
- Mengenali ahli usrah dengan lebih mendalam.
- Berkongsi kisah suka duka kehidupan kita dengan ahli usrah. 

Bahan : Kertas A4 dan pen

Perlaksanaan:
      1. Lukiskan garisan x dan y di atas kertas A4. Labelkan garisan x sebagai garisan 'umur' manakala garisan y sebagai garisan 'kegembiraan' dan 'kesedihan'. (rujuk contoh di bawah)

2. Untuk garisan umur, tandakan dengan jangka umur kita sejak dari kecil sehingga sekarang. Untuk garisan kegembiraan, tandakan mengikut aras 1 hingga 10 manakala untuk garisan kesedihan, tandakan mengikut aras -1 hingga -10Sebelum menanda, kita bayangkan sekejap peristiwa sedih dan gembira dalam kehidupan kita dan  pilih di usia manakah kita mahu berkongsi kisah-kisah tersebut. (rujuk contoh di bawah)


3. Step yang seterusnya ialah kita plotkan graf ini mengikut kisah hidup yang ingin kita ceritakan kepada ahli usrah kita. Contohnya jika kita ada kisah sedih yang ingin dikongsikan semasa umur 4 tahun, tandakan pada umur 4 tahun dan selarikan dengan berapa aras rasa kesedihan tersebut. Jika kita ada kisah gembira pula pada umur 6 tahun, tandakan pada umur 6 tahun dan selarikan dengan berapa aras rasa kegembiraannya. Kemudian begitulah seterusnya sehinggalah umur kita sekarang. Sebaik sahaja siap, kita sambungkan semua hasil yang telah ditandakan tersebut dengan satu garisan. (rujuk contoh di bawah)

4. Sekarang ialah masanya untuk kita persembahkan 'Sharing Moment Graph' ini kepada ahli usrah kita. Sambil menunjukkan graf ini, kita ceritakan kepada mereka kisah hidup kita. Naqib/naqibah sebaiknya memberi kesempatan kepada setiap ahli usrah untuk mengambil bahagian di dalam aktiviti ini. Aktiviti ini akan lebih menarik apabila ahli usrah dapat menceritakannya dengan penuh emosi dan perasaan. ^_^

Sebagai kesimpulannya, para naqib/naqibah boleh mengambil petikan ayat Al-Quran di dalam Surah Al-Hujurat ayat ke 13. Ianya bermaksud:

"Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan."

Sekian sahaja perkongsian dari tim QG untuk saudara yang disayangi nabi. Mudah-mudahan ianya membantu saudara mengembangkan usrah dengan lebih berkesan. Jazakallah.


Perkembangan terkini tim dan silibus QG

 

Alhamdulillah, ini adalah artikel kedua tim QG yang telah disiarkan di dalam majalah Gen-Q isu ke 16. Mudah-mudahan sedikit usaha ini akan dikira sebagai amal ibadah oleh Allah SWT. Jangan lupa untuk mendapatkan majalah Gen-Q ini di kedai-kedai buku berdekatan saudara ya. Nantikan artikel ketiga dari kami untuk keluaran yang seterusnya. Bagi saudara yang ingin mengikuti perkembangan majalah Gen-Q dengan lebih dekat, klik sahaja link ini - http://www.facebook.com/majalahGenQ?fref=ts dan terus berikan 'LIKE' kepadanya.  =)

Berkaitan perkembangan buku Quranic Group pula, seorang sahabat dari Management & Sceinces University (MSU), Shah Alam telah menempah sebanyak 36 unit untuk digunakan di dalam usrah beliau di sana. Tim QG mendoakan semoga perjalanan usrah mereka berjalan lancar InsyaAllah. Bagi saudara yang berminat, boleh terus rujuk button-button di atas. 

Tim QG mendoakan semoga usaha-usaha baik ini diberkati dan mendapat kasih sayang Allah. Tim QG juga mengalu-alukan saudara yang ingin menjemput dan bekerjasama dengan kami di dalam   membuat kebaikan kepada masyarakat kita InsyaAllah.

Sekian, jazakallah khairan kathira.

^^ Mencari Hikmah Untuk Ummah ^^   

Wednesday, November 7, 2012

Tips Mula Hubungan Dengan Mad'u


Bismillah, salam ukhuwwah buat semua sahabat dan pelawat setia blog Quranic Group ini. Mudah-mudahan bertambah-tambahlah kejayaan dan kebahagiaan kita semua di dunia dan akhirat.

Entri blog QG kali ini ialah: 

1. Artikel Tips Mula Hubungan Dengan Mad'u yang boleh digunakan oleh para nuqaba'
2. Perkembangan terkini tim dan silibus QG 


Selamat membaca :)

Tips Mula Hubungan Dengan Mad'u

Di satu majlis kenduri perkahwinan, Ahmad tertarik untuk mengenali seorang pemuda yang kelihatan bersih dan jernih wajahnya. Pemuda itu berjanggut tapi tidak bermisai. Kebetulan beliau duduk di kerusi yang berhampiran dengan Ahmad. Ahmad mula terfikir, bagaimana mungkin dia memulakan perkenalan ini?

Ahmad mencuba.

"Assalamualaikum. Saya macam pernah jumpa saudara. Saudara ni belajar di Sekolah Menengah Ahmad Maher ke dulu?" Tanya Ahmad seraya senyum dan menghulurkan tangan untuk bersalam. 

"Waalaikumussalam. Taklah, saya dulu belajar di Sekolah Menengah Agama Wataniah Machang." Balas pemuda tersebut sambil menyambut tangan Ahmad yang dihulurkan.

"Oh, mungkin saya tersilap. Maaf ya. Boleh tahu saudara tinggal di mana?" Ahmad cuba cover dirinya yang sudah tersipu-sipu malu. Umpan pertamanya tidak mengena.

"Saya tinggal di Kampung Pasir Kota. Saudara pula?" Tanya balik pemuda tersebut kepada Ahmad.

"Eh, kebetulan kita tinggal di kampung yang sama. Saya pun tinggal di Kampung Pasir Kota. Patutlah macam pernah jumpa." Ahmad mula terasa lega. Titik persamaan sudah ditemui.

"Saya selalu solat jemaah di Surau Darululum. Saudara pernah solat di situ?" Pemuda tersebut pula bertanya, seperti mula menunjukkan minat.

"Tak selalu. Tetapi pernah jugalah saya solat di situ. Saya biasanya solat di Masjid Pasir Kota." Jawab Ahmad.

"Oh gitu, takpelah. Nama saya Zamri. Nama saudara?" Tanya pemuda itu sambil tersenyum, seperti mula selesa.

"Boleh panggil saya Ahmad. Alhamdulillah, saya suka berkenalan dengan saudara Zamri." Ahmad mula yakin untuk melanjutkan perbualannya, selepas pemuda bernama Zamri itu 
sendiri yang memulakan pengenalan dirinya.

***
Melalui dialog di atas, kita boleh memahami bahawa proses untuk memulakan hubungan dengan orang lain tidaklah boleh dilakukan secara terburu-buru begitu sahaja. Hal ini kerana ia mungkin boleh mencetuskan perasaan tidak selesa individu tersebut sekaligus menjarakkan lagi hubungan dengannya.

Di dalam usrah juga begitu. Kemahiran untuk memulakan hubungan dengan mad'u seharusnya dikuasai supaya naqib/naqibah bukan sahaja dapat mentaa'rufkan diri bahkan prosesnya dapat berjalan dalam suasana mesra.

Syeikh Abbas As-Siisiy ada berkongsi tips di dalam bukunya 'Bagaimana Menyentuh Hati' tentang isu ini. Kita akan kaitkannya dengan dialog di atas.

Tips
Huraian
Dari Dialog
Maniskan muka (senyum)
Menggambarkan keceriaan dan positifnya kita. Ia juga menunjukkan penghargaan kita terhadap mad’u.

Ahmad memulakan sapaan terhadap Zamri dengan senyuman.
Kenalpasti titik persamaan
Biasanya mad’u akan cepat mesra jika kita punya sedikit persamaan dengan mereka contohnya hobi yang sama, makanan kegemaran yang sama dan sebagainya.

Ahmad dan Zamri mempunyai persamaan tempat tinggal mereka iaitu di Kampung Pasir Kota.
Hafal & terus memanggil dengan namanya, daripada kita menggunakan istilah-istilah seperti ‘awak’, ‘kamu’, ‘enta’ dan lain-lain
Mad’u akan rasa gembira apabila kita memanggilnya dengan nama yang disukai. Ia boleh merapatkan hubungan kita dengan mad’u tanpa kita sedari.

Ahmad terus memanggil Zamri dengan namanya, sebaik sahaja Zamri memberitahunya.


Tips di atas ialah salah satu dari puluhan tips lagi yang boleh kita gunakan di medan usrah. Namun jika ianya tidak berhasil, sebagai naqib/naqibah kita harus tidak berputus asa dan sentiasa berusaha mendapatkan ilmu dan hikmah. Selebihnya kita serahkanlah urusannya kepada Allah SWT. :)

Perkembangan terkini tim dan silibus QG

Tim QG telah menghantar pesanan buku dari seorang sahabat di Mulong, Kelantan. Beliau juga telah membawa stok buku QG ke Perlis untuk disampaikan kepada agen kami di sana.

Tim QG mendoakan semoga segala urusan mereka dipermudahkan Allah. Ameen.

Sekian, terima kasih.


^^ Mencari Hikmah Untuk Ummah ^^     


Monday, October 22, 2012

Dari QG Ke Gen-Q


Bismillah, salam ukhuwwah buat semua sahabat dan pelawat setia blog Quranic Group ini. Mudah-mudahan bertambah-tambahlah kejayaan dan kebahagiaan kita semua di dunia dan akhirat.

Entri blog QG kali ini ialah: 

1. Makluman medan perkongsian ilmu terbaru tim QG iaitu dari QG ke majalah Gen-Q
2. Perkembangan terkini tim dan silibus QG 


Selamat membaca :)


Dari QG Ke Gen-Q



Alhamdulillah, tim QG merakamkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah kerana dengan izinNya telah dilorongkan jalan baru buat kami untuk melebar-luaskan jaringan ilmu dan persahabatan bersama dengan ummah di luar sana khususnya golongan remaja. Kami juga ingin mengucapkan jazakallah khairan kathira kepada warga Telaga Biru Sdn Bhd melalui platform Majalah Gen-Q nya kerana telah sudi menyambut salam persahabatan ini. Dan semestinya kami tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada sahabat dan pelawat setia blog Quranic Group ini kerana berkat doa dan sokongan semua, artikel seumpama ini telah dapat disiarkan. Pengumuman ini ialah sebagaimana yang telah pihak kami janjikan kepada semua dalam entri yang lepas. =)

Untuk perincian, tim QG syorkan semua untuk mendapatkan Majalah Gen-Q isu 15 di kedai-kedai buku berdekatan. Jangan lupa untuk membelek halaman 28-29 ya! ^_^

Mudah-mudahan, akaun pahala kita akan semakin bertambah, guna untuk dipersembahkan di hadapan Pencipta kita di sana nanti. Ameen.


Perkembangan terkini tim dan silibus QG

Tim QG telah menghantar pesanan 5 set buku QG kepada seorang sahabat dari Sungai Petani. Ini sebagai cubaan beliau untuk melihat sama ada ianya sesuai atau tidak di sekolahnya. Agen kami dari Perlis juga telah memohon stok baru, kerana berlaku pertambahan pengguna di sana.

Saudara yang ingin mencuba buku ini, boleh klik button 'Cara Pesanan' di atas untuk membuat pesanan.


Tim QG mendoakan semoga usaha-usaha baik ini diberkati dan mendapat kasih sayang Allah. Tim QG juga mengalu-alukan saudara yang ingin menjemput dan bekerjasama dengan kami di dalam   membuat kebaikan kepada masyarakat kita InsyaAllah.


Sekian, terima kasih.


^^ Mencari Hikmah Untuk Ummah ^^     

Sunday, September 30, 2012

Puisi Kreatif Ahli Usrah (2)


Bismillah, salam ukhuwwah buat semua sahabat dan pelawat setia blog Quranic Group ini. Mudah-mudahan bertambah-tambahlah kejayaan dan kebahagiaan kita semua di dunia dan akhirat.


Entri blog QG kali ini ialah: 

1. Persembahan puisi kreatif yang kedua yang telah dihantar oleh ahli usrah yang tim QG kendalikan
2. Perkembangan terkini tim dan silibus QG 

Selamat membaca :)

Puisi Kreatif Ahli Usrah (2)

Ini ialah puisi kedua yang telah dihantar. Jika puisi yang kami siarkan pada entri yang lepas menekankan rasa hamba kepada Allah, puisi kali ini pula berfokuskan kepada hikmah dan keindahan di sebalik sesuatu peraturan yang telah Allah tetapkan. 

Tajuknya ialah KEINDAHAN ISLAM YANG BERHIKMAH.

Indahnya Islam
Segala suruhan ada hikmahnya

Bukan semena-menanya disuruh

Tetapi ada sebabnya.

Bukan rupa yang diukur

Bukan juga pangkat yang dicari

Namun

Islam itu hanya memandang kepada ukuran iman dan ketakwaan.


Indahnya Islam

Solat yang diperintahkan bukan sekadar sebagai bukti kepatuhan hamba kepada ALLAH

Tapi rupanya

Ada terselit hikmah yang tidak diduga

Rupanya

Dalam solat ada senaman ringkas

Setiap gerak geri tidak sia sia.


Indahnya Islam

Wanita solehah sebaik-baik perhiasan dunia

Wanita diarahkan untuk menutup auratnya

Bertutup litup jasad melambangkan kepatuhan seorang hamba kepada tuhannya

Meskipun sesekali ada kedengaran bisikan hitam agar membantahnya

Namun

Hati berkeras menentangnya

Dalam hikmah menutup aurat
Rupanya
Wanita tersebut dapat membantu kaum adam daripada menjengah neraka
Kerana kaum adam akan terjaga perasaannya terhadap wanita yang sebegini.


Indahnya Islam

Segala suruhan ada akibat dan ganjarannya

Sama ada pahala atau dosa yang menjadi persoalannya

Akan tetapi

Selalai manapun diri ini

Sebanyak manapun dosa yang dicipta

Yang menjadi dambaan tetap syurga yang kekal abadi.


Nukilan - Nasuha


InsyaAllah, nantikan karya-karya kreatif ahli-ahli usrah yang lain pada post akan datang ^ ^

Perkembangan terkini tim dan silibus QG

Alhamdulillah, tim QG telah mendapat respon dari sebuah majalah remaja Islamik yang terkenal di negara kita, bahawa artikel yang telah dihantar akan disiarkan untuk keluaran majalah itu pada bulan ini (Oktober). Mudah-mudahan perkongsian ilmu berkaitan usrah akan semakin luas dapat dikembangkan khususnya kepada adik-adik remaja yang ditaklifkan sebagai naqib dan naqibah di sekolah. Sebaik sahaja keluar di pasaran, tim QG akan umumkan dalam blog ini. Nantikan kemunculannya! =)

Esok tim QG akan menerima kunjungan sahabat dari Universiti Malaysia Terengganu. Beliau yang telah sudi menjadi agen jualan QG ingin mendapatkan tambahan 3 set buku QG ini kerana set yang telah dipesan pada bulan yang lalu sudah habis. 

Kepada sahabat dan pelawat setia blog Quranic Group ini yang ingin menjadi agen jualan QG ini di tempat anda, sila hubungi nombor ini ya - 0134058718.

Sekian, terima kasih. :)


^^ ISLAM ITU INDAH ^^     

Monday, September 24, 2012

Puisi Kreatif Ahli Usrah

Bismillah, salam ukhuwwah buat semua sahabat dan pelawat setia blog Quranic Group ini. Mudah-mudahan bertambah-tambahlah kejayaan dan kebahagiaan kita semua di dunia dan akhirat.


Entri blog QG kali ini ialah: 

1. Persembahan puisi kreatif yang telah dihantar oleh ahli usrah yang tim QG kendalikan
2. Perkembangan terkini tim dan silibus QG 

Selamat membaca :)

Puisi Kreatif Ahli Usrah

Baru-baru ini, tim QG telah diberi peluang untuk mengendalikan usrah di salah sebuah sekolah menengah kebangsaan agama di negeri Kelantan. Di dalam usrah tersebut, tim QG telah merancang dengan mereka untuk mencipta apa-apa karya atau puisi yang menceritakan tentang kebaikan Islam. Selepas itu, kami merancang dan bersepakat untuk menyebarkannya melalui media sosial seperti facebook, blog dan lain-lain saluran di dalam internet ini dengan misi untuk berkongsi kebaikan dengan orang lain.

Secara tidak langsung, ianya akan menambahkan akaun pahala kami sebagai bekalan untuk akhirat nanti.

Oleh itu, tim QG ingin persembahkan kepada saudara hasil karya pertama yang dihantar. Puisi ini menekankan rasa hamba kepada Allah. Tajuknya ialah KITA HAMBA.

Rumput menghijauan,
Cengkerik bernyanyian,
Rama-rama berterbangan,
Embun bertitisan,
Langit kebiruan,
Subhanallah...

Betapa damainya hatiku ini,
Semakin ku lihat kekuasaanMu,
Semakin rindu ku pada syurgaMu,
Ya Allah...
Tiap derapan kaki ku pijak,
Semakin ku rasa kerdilnya diri ini,
Alhamdulillah...
Ku dapat rasai kekuasaanMu ini...

Nukilan - Alia


InsyaAllah, nantikan karya-karya kreatif ahli-ahli usrah yang lain pada post akan datang ^ ^

Perkembangan terkini tim dan silibus QG

Alhamdulillah, tim QG telah berpeluang melebarkan empayar persahabatan dengan seorang pendidik dari SMK Subis, Sarawak. Beliau telah menempah 1 set QG untuk dijadikan sampel untuk urusan tarbiah di sekolahnya. Selain itu, terdapat seorang sahabat dari Selangor telah menempah 6 set tambahan, selepas beliau telah mendapatkan 1 set sebelum ini. Katanya, silibus QG ini telah terbukti keberkesanannya.

Tim QG pula sedang merancang untuk mengembangkan idea usrah melalui penghasilan buku aktiviti dan permainan di dalam usrah. Kemungkinan tajuk yang akan dipilih ialah '365 Aktiviti & Permainan Usrah'. 

Selain itu, tim QG juga sedang berusaha untuk meluaskan lagi medan idea usrah ini menerusi perkongsian di dalam majalah-majalah ilmiah untuk remaja yang terkemuka di dalam negara kita sebagai kolumnis. InsyaAllah jika berjaya, kami akan umumkan di dalam blog ini dan berkongsi kegembiraannya dengan semua sahabat dan pelawat setia blog Quranic Group yang dikasihi Allah dan disayangi nabi ini. ^ ^ 

Mohon doa semua mudah-mudahan segala perancangan tim QG ini akan menjadi realiti nanti. 

Sekian, terima kasih. :)


^^ ISLAM ITU INDAH ^^     

Sunday, September 16, 2012

Bagaimana Menguruskan Masa Dalam Majlis Usrah?



Bismillah, salam ukhuwwah buat semua sahabat dan pelawat setia blog Quranic Group ini. Semoga kita semua sentiasa di dalam rahmat Allah.


Entri terbaru blog QG kali ini ialah: 

1. Artikel bertajuk 'Bagaimana Menguruskan Masa Dalam Majlis Usrah?
2. Perkembangan terkini tim dan silibus QG 

Selamat membaca :)

Bagaimana Menguruskan Masa Dalam Majlis Usrah?

Mengikut AlMarhum Ustaz Yahya Othman di dalam bukunya 'Usrah Sebagai Tunjang Kepada Tarbiah Gerakan Islam', masa yang diperlukan untuk majlis usrah ialah sekitar 1 jam 30 minit atau tidak lebih daripada 2 jam 30 minit. Melalui ini, kita boleh memahami bahawa usrah sebaiknya jangan terlalu lama dan juga jangan terlalu pendek masanya. Biasanya, usrah yang terlalu lama akan menyebabkan ahli usrah 'tepu' penerimaannya lalu menjadikan mereka cepat bosan. Usrah yang terlalu ringkas pula boleh menyebabkan mereka 'teraba-raba' mencari apakah fokus sebenar pengisian yang naqib ingin sampaikan.

Tim QG suka untuk berkongsi dengan saudara bagaimana kita boleh membahagikan masa tersebut mengikut pengisian-pengisiannya yang telah ditetapkan. Kami mengambil contoh majlis usrah yang dikendalikan selama 1 jam 30 minit. Kita bahagikan pengisian mengikut 3 bahagian iaitu bermula dengan bacaan/tafsir/tajwid Al-Quran atau hadis. Kemudian masuk kepada perbincangan tajuk-tajuk usrah yang telah disediakan contohnya menyentuh persoalan fikrah, ibadah, akhlak, feqah dan lain-lain. Kemudian diakhiri perbincangannya dengan menyentuh isu semasa atau sirah nabawiyyah. Cadangan kami adalah seperti berikut:

20 minit pertama - Membaca/tadabbur/tafsir/tajwid Al-Quran atau hadis nabi SAW
50 minit seterusnya - Membincangkan tajuk-tajuk usrah seperti bahagian fikrah, ibadah, akhlak, feqah dan lain-lain      
5 minit seterusnya - Ahli usrah diberi masa untuk membuat refreshment 
15 minit akhir - Diskusi pengajaran di sebalik isu semasa atau sirah nabi

Justeru itu, jika majlis usrah bermula pukul 7.30 malam iaitu selepas solat Maghrib, ianya akan tamat pada pukul 9.00 malam. Usrah akan menjadi semakin bermakna jika naqib dan ahli usrah boleh sama-sama solat Maghrib secara berjemaah. Apabila sahaja tamat majlis usrah, naqib dan ahli usrah boleh bersama pula untuk  solat Isyak secara berjemaah. Ini akan menguatkan lagi roh ukhuwwah Islamiyyah sesama mereka.

Idea di atas adalah fleksibel untuk saudara laksanakan mengikut kesesuaian tempat masing-masing.  Sesetengah tempat mengadakan usrah selepas solat Isyak. Ada juga diadakan pada waktu petang. Terpulanglah saudara melihat yang mana terbaik untuk dilakukannya.

Sekian sahaja perkongsian dari krew QG untuk saudara yang disayangi nabi. Mudah-mudahan ianya membantu saudara mengembangkan usrah kendalian saudara dengan lebih berkesan. Jazakallah.

Perkembangan terkini tim dan silibus QG


Alhamdulillah, tim QG telah berpeluang membuat usrah kepada grup muslimat di sebuah sekolah menengah di Kelantan. Tajuk yang ditaklifkan ialah Akhlak Qiadi & Jundi yang terdapat di dalam buku QG 4 bahagian 2. Pendekatan yang kami lakukan ialah dengan membuat tayangan video yang berkisarkan tajuk tersebut.


Kemudian, mereka diberi masa untuk mengeluarkan idea tentang apa yang mereka perolehi dari viedo tersebut. Hasilnya jadilah seperti gambar di atas. Tim QG kemudiannya membuat sedikit ulasan untuk memahamkan lagi tajuk tersebut. ^ ^

Tim QG juga telah dikunjungi oleh sahabat dari Universiti Al-Azhar, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan UIA Kuantan yang ingin bertanya lanjut tentang buku QG ini lalu terus mendapatkannya untuk dijadikan silibus usrah di dalam grup yang mereka kendali. Sahabat dari UIA Kuantan tersebut juga menyatakan sedang dalam usaha mengemaskinikan lagi usrah di sekolah yang beliau uruskan.

Tim QG mendoakan semoga usaha-usaha baik ini diberkati dan mendapat kasih sayang Allah. Tim QG juga mengalu-alukan saudara yang ingin menjemput dan bekerjasama dengan kami di dalam   membuat kebaikan kepada masyarakat kita InsyaAllah.

Sekian, terima kasih.


^^ ISLAM ITU INDAH ^^     
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...