Wednesday, November 7, 2012

Tips Mula Hubungan Dengan Mad'u


Bismillah, salam ukhuwwah buat semua sahabat dan pelawat setia blog Quranic Group ini. Mudah-mudahan bertambah-tambahlah kejayaan dan kebahagiaan kita semua di dunia dan akhirat.

Entri blog QG kali ini ialah: 

1. Artikel Tips Mula Hubungan Dengan Mad'u yang boleh digunakan oleh para nuqaba'
2. Perkembangan terkini tim dan silibus QG 


Selamat membaca :)

Tips Mula Hubungan Dengan Mad'u

Di satu majlis kenduri perkahwinan, Ahmad tertarik untuk mengenali seorang pemuda yang kelihatan bersih dan jernih wajahnya. Pemuda itu berjanggut tapi tidak bermisai. Kebetulan beliau duduk di kerusi yang berhampiran dengan Ahmad. Ahmad mula terfikir, bagaimana mungkin dia memulakan perkenalan ini?

Ahmad mencuba.

"Assalamualaikum. Saya macam pernah jumpa saudara. Saudara ni belajar di Sekolah Menengah Ahmad Maher ke dulu?" Tanya Ahmad seraya senyum dan menghulurkan tangan untuk bersalam. 

"Waalaikumussalam. Taklah, saya dulu belajar di Sekolah Menengah Agama Wataniah Machang." Balas pemuda tersebut sambil menyambut tangan Ahmad yang dihulurkan.

"Oh, mungkin saya tersilap. Maaf ya. Boleh tahu saudara tinggal di mana?" Ahmad cuba cover dirinya yang sudah tersipu-sipu malu. Umpan pertamanya tidak mengena.

"Saya tinggal di Kampung Pasir Kota. Saudara pula?" Tanya balik pemuda tersebut kepada Ahmad.

"Eh, kebetulan kita tinggal di kampung yang sama. Saya pun tinggal di Kampung Pasir Kota. Patutlah macam pernah jumpa." Ahmad mula terasa lega. Titik persamaan sudah ditemui.

"Saya selalu solat jemaah di Surau Darululum. Saudara pernah solat di situ?" Pemuda tersebut pula bertanya, seperti mula menunjukkan minat.

"Tak selalu. Tetapi pernah jugalah saya solat di situ. Saya biasanya solat di Masjid Pasir Kota." Jawab Ahmad.

"Oh gitu, takpelah. Nama saya Zamri. Nama saudara?" Tanya pemuda itu sambil tersenyum, seperti mula selesa.

"Boleh panggil saya Ahmad. Alhamdulillah, saya suka berkenalan dengan saudara Zamri." Ahmad mula yakin untuk melanjutkan perbualannya, selepas pemuda bernama Zamri itu 
sendiri yang memulakan pengenalan dirinya.

***
Melalui dialog di atas, kita boleh memahami bahawa proses untuk memulakan hubungan dengan orang lain tidaklah boleh dilakukan secara terburu-buru begitu sahaja. Hal ini kerana ia mungkin boleh mencetuskan perasaan tidak selesa individu tersebut sekaligus menjarakkan lagi hubungan dengannya.

Di dalam usrah juga begitu. Kemahiran untuk memulakan hubungan dengan mad'u seharusnya dikuasai supaya naqib/naqibah bukan sahaja dapat mentaa'rufkan diri bahkan prosesnya dapat berjalan dalam suasana mesra.

Syeikh Abbas As-Siisiy ada berkongsi tips di dalam bukunya 'Bagaimana Menyentuh Hati' tentang isu ini. Kita akan kaitkannya dengan dialog di atas.

Tips
Huraian
Dari Dialog
Maniskan muka (senyum)
Menggambarkan keceriaan dan positifnya kita. Ia juga menunjukkan penghargaan kita terhadap mad’u.

Ahmad memulakan sapaan terhadap Zamri dengan senyuman.
Kenalpasti titik persamaan
Biasanya mad’u akan cepat mesra jika kita punya sedikit persamaan dengan mereka contohnya hobi yang sama, makanan kegemaran yang sama dan sebagainya.

Ahmad dan Zamri mempunyai persamaan tempat tinggal mereka iaitu di Kampung Pasir Kota.
Hafal & terus memanggil dengan namanya, daripada kita menggunakan istilah-istilah seperti ‘awak’, ‘kamu’, ‘enta’ dan lain-lain
Mad’u akan rasa gembira apabila kita memanggilnya dengan nama yang disukai. Ia boleh merapatkan hubungan kita dengan mad’u tanpa kita sedari.

Ahmad terus memanggil Zamri dengan namanya, sebaik sahaja Zamri memberitahunya.


Tips di atas ialah salah satu dari puluhan tips lagi yang boleh kita gunakan di medan usrah. Namun jika ianya tidak berhasil, sebagai naqib/naqibah kita harus tidak berputus asa dan sentiasa berusaha mendapatkan ilmu dan hikmah. Selebihnya kita serahkanlah urusannya kepada Allah SWT. :)

Perkembangan terkini tim dan silibus QG

Tim QG telah menghantar pesanan buku dari seorang sahabat di Mulong, Kelantan. Beliau juga telah membawa stok buku QG ke Perlis untuk disampaikan kepada agen kami di sana.

Tim QG mendoakan semoga segala urusan mereka dipermudahkan Allah. Ameen.

Sekian, terima kasih.


^^ Mencari Hikmah Untuk Ummah ^^     


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...