Monday, August 26, 2013

Bulatan Gembira VS Bulatan Duka


Bismillah, salam ukhuwwah buat semua sahabat dan pelawat setia blog Quranic Group ini. Didoakan kita semua sentiasa di dalam rahmat dan keberkatan Allah SWT. 
 
Entri terbaru blog QG kali ini ialah: 

1. Artikel bertajuk 'Bulatan Gembira VS Bulatan Duka' yang berkongsi tentang tanda-tanda usrah yang cemerlang dan usrah yang memerlukan penambahbaikan.
2. Perkembangan terkini tim dan silibus QG 

Selamat membaca :)

Bulatan Gembira VS Bulatan Duka

Situasi 1

“Kak Nur, boleh tak minggu hadapan kita buat usrah lama sikit? Rasa tak cukup masalah kalau sejam 30 minit sahaja. Seronok sangat perkongsian ilmu tadi“ Kata Siti kepada naqibah usrahnya, Nur selepas tamat usrah. Nur tersenyum mendengar permintaan ahli usrahnya.

Situasi 2

“Maafkan abang adik-adik semua. Abang perlu siapkan kerja sikit malam ini. Usrah kita nanti abang SMS balik bila akan dibuat ya. Salam.” Begitulah SMS yang dihantar oleh Abu kepada ahli usrahnya. SMS tersebut dihantar pada pukul 9 malam, ketika semua ahli usrahnya sudah berada di tempat usrah menunggu ketibaan beliau selaku naqib kepada mereka. Detik hati salah seorang dari ahli usrahnya, “Sudah 3 kali Abang Abu macam ini. Kalau macam ini baik aku masuk kumpulan usrah lain.”

Usrah, yang juga disebut oleh sebahagian kita sebagai ‘bulatan gembira’ itu, berkemungkinan menjadi ‘bulatan duka’ jika tidak dapat dikendalikan dengan sebaiknya. Bagi memastikan ianya ‘gembira’, ia memerlukan kedua belah pihak iaitu naqib/naqibah dan ahli usrah saling bekerjasama menghidupkan suasana kemesraannya dan berfikiran positif di dalam menghadapi cabaran berusrah.

Artikel kali ini ingin berkongsi dengan para remaja tentang tanda-tanda yang boleh ditemui dari usrah yang disebut sebagai ‘bulatan gembira’ dan tanda-tanda yang boleh ditemui dari usrah yang disebut sebagai ‘bulatan duka’, sebagaimana 2 situasi di atas.

Bulatan Gembira
Bulatan Duka
Usrah sentiasa berjalan pada masa yang telah ditetapkan dan tidak beri peluang hal yang remeh-temeh menggagalkannya.
Usrah selalu ditunda-ditunda. Kadang-kadang berlaku kejadian di mana usrah ditangguhkan tanpa makluman sebabnya.
Ahli usrah kelihatan bersemangat dan konsisten hadir. Bahasa badan mereka menzahirkan keceriaan. Respon balas dalam usrah juga sangat memberangsangkan.
Wujud reaksi tidak selesa ahli usrah. Ia boleh dilihat dari wajah kusut dan bahasa badan mereka yang tidak memberi tumpuan sepenuhnya. Kehadiran juga tidak menentu.
Naqib/naqibah yang segar, proaktif dan mengambil berat tentang kehidupan ahli usrahnya. Layanan mereka kepada ahli usrah sentiasa berada di tahap terbaik sama ada ketika berhubung di alam realiti mahupun di alam maya. 
Naqib/naqibah bersikap acuh tak acuh contohnya malas membuat persediaan sebelum mengendalikan usrah. Agak malang apabila ahli usrah sangat komited tetapi naqib/naqibah pula yang tidak memanfaatkannya.
Ahli usrah suka berkongsi dan menceritakan pengalaman dan kegembiraan mereka melalui usrah dengan orang lain sama ada ahli keluarga atau kawan-kawan.
Ahli usrah menjadikan usrah sebagai alasan mereka tidak dapat memberi tumpuan kepada perkara lain contohnya di dalam pelajaran dan aktiviti persatuan yang disertai.   
Ahli usrah bertanya, “Bila akan diadakan lagi?”
Ahli usrah bertanya, “Bila mahu habis usrah?”

Mudah-mudahan dengan mendapat gambaran yang jelas tentang tanda-tanda ‘bulatan gembira’ dan ‘bulatan duka’ ini, kita akan segera melakukan penambahbaikan jika didapati tanda ‘bulatan duka’ lebih menghampiri usrah kita. Bak kata pepatah, ‘mencegah lebih baik daripada merawat’.

Dan jika kita dapati tanda-tanda ‘bulatan gembira’ lebih menguasai usrah kita, bersyukurlah dan teruskan berusaha membangunkannya dan usah cepat berpuas hati dengan pencapaian tersebut.


Didoakan ia menjadi saham besar kita di akhirat nanti In Syaa Allah!

Perkembangan terkini tim dan silibus QG

Alhamdulillah, ini adalah artikel seterusnya tim QG yang telah disiarkan di dalam majalah Gen-Q isu ke 25. Jangan lupa untuk mendapatkan majalah Gen-Q ini di kedai-kedai buku berdekatan saudara ya. Bagi saudara yang ingin mengikuti perkembangan majalah Gen-Q dengan lebih dekat, klik sahaja link ini - http://www.facebook.com/majalahGenQ?fref=ts dan terus berikan 'LIKE' kepadanya.  =)


Berkaitan perkembangan buku Quranic Group (QG) pula, seorang pensyarah dari Politeknik Arau, Perlis telah mendapatkan 5 set buku ini untuk kegunaan usrah di sana. Dan juga seorang rakan dari Selangor telah menempah 1 set. Tim QG mendoakan semoga ia dapat bantu sedikit sebanyak mereka di dalam pengisian usrah. Bagi saudara yang ingin membuat tempahan, mohon klik button 'Cara Pesanan' di atas untuk ketahui prosedurnya.

Tim QG mendoakan semoga usaha-usaha baik ini diberkati dan mendapat kasih sayang Allah. Tim QG juga mengalu-alukan saudara yang ingin menjemput dan bekerjasama dengan kami di dalam   membuat kebaikan kepada masyarakat kita InsyaAllah. 

p/s: Sekiranya saudara ingin posting setiap entri di dalam blog ini terus meluncur masuk ke dalam email saudara secara automatik sebaik sahaja blog ini diupdate, saudara dijemput untuk memasukkan email di dalam ruangan 'DAPATKAN MAKLUMAT TERKINI' di bahagian kanan blog ini. Sistem 'Feedburner' akan membantu memudahkan urusan penyampaian maklumat kepada saudara InsyaAllah.

Sekian, jazakallah khairan kathira.

^^ Mencari Hikmah Untuk Ummah ^^   

Thursday, August 1, 2013

Deria Ke - 6 Dalam Usrah


Sang naqib bertanya,

"Cuba teka, dalam diri manusia, ada berapa deria?"

Jawab mad'u-mad'unya pantas,

"Ada 5 bang! Deria rasa, sentuh, lihat, bau dan dengar."

Naqibnya bertanya lagi,

"Mereka yang berkecimpung dalam perjuangan untuk menegakkan Islam, ada 1 lebihan menjadikan beliau ada 6 deria. Mahu adik-adik semua tahu?"

Respon mad'u-mad'unya manja,

"Nak tahu-nak tahu!"

Lalu berkatalah sang naqib,

"Itulah deria SENSITIF. Mereka ialah orang yang hidup perasaan SENSITIFnya terhadap sesama manusia."


Perlunya Nuqaba’ Miliki Deria Sensitif Terhadap Mad’u

Nabi SAW bersabda:

“Barangsiapa yang tidak peduli urusan kaum muslimin, maka dia bukan di kalangan mereka.”

Al-Fadhil Ustaz Yahya Othman di dalam bukunya 'Amal Jamaie : Pengertian & Tuntutannya' juga ada menyebut sabda Rasulullah SAW iaitu:

"Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang kuat daya hidupnya di tengah-tengah manusia - punya sensitiviti yang baik."

Hadis-hadis ini menunjukkan betapa pentingnya seorang individu muslim itu mengambil tahu dan sensitif tentang apa yang berlaku terhadap saudara seagamanya. Hal ini termasuklah dalam institusi usrah yang melibatkan komuniti kecil di antara naqib dan ahli-ahlinya.

Naqib yang cemerlang sudah tentu bukan sekadar berusaha menghabiskan silibus usrah yang telah ditetapkan sahaja di dalam usrah, bahkan beliau berusaha untuk ambil tahu apakah yang berlaku di dalam kehidupan setiap ahli usrahnya. Ini ialah contoh checklist untuk para naqib memeriksa sejauh mana mereka sensitif terhadap ahli usrahnya:
  • Apakah perkara yang gemar dilakukannya pada masa lapang?
  • Siapakah kawan karibnya?
  • Bagaimanakah amal ibadah sehariannya?
  • Apakah makanan dan minuman kesukaannya?
  • Bagaimanakah keadaan keluarganya?
  • Apakah tanggungjawabnya di sekolah/IPT selain pelajar?
  • Apakah kelebihan atau kepakaran yang dimiliki olehnya?
  • Di manakah tempat tinggalnya?
  • Bagaimanakah kondisi akademiknya?
  • Apakah bahan bacaan yang diminati olehnya?

Apakah sedetail itu perlu diketahui oleh para naqib? Jawapannya ialah ‘ya’, bahkan jika mengetahui dengan lebih mendalam adalah lebih baik. Naqib boleh menggunakan maklumat tersebut untuk merapatkan hubungan sesama ahli usrah di samping mewujudkan rasa sayang antara satu sama lain. Namun begitu, sensitif yang dimaksudkan di sini bukanlah perasaan sensitif tidak tentu hala ya! Sensitif yang dimaksudkan di sini ialah rasa ambil berat tentang keperluan hidup di antara satu dengan yang lain.

Apakah hasil yang akan diperolehi lagi apabila wujudnya perasaan sensitif sesama ahli usrah? Ia seperti berikut:

·         Mendapat kasihan belas dari Allah
·         Sikap saling bantu-membantu akan dapat diterapkan
·         Semakin yakin menempuhi cabaran hidup
·         Sikap pentingkan diri sendiri dapat dikikis

Budaya suka memberi dari meminta-minta juga dapat diwujudkan apabila rasa sensitif ini dimiliki oleh ahli usrah. Lantas ia akan menepati sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A:

“Tangan yang berada di atas (memberi) itu adalah lebih baik dari tangan yang berada di bawah (meminta-minta)"

Akhirnya, sama-sama kita merenungi kata-kata As-Syahid Imam Hasan Al-Banna ini di dalam mengungkapkan rasa sensitifnya kepada sasaran dakwahnya,

Sungguh, kami berbuat di jalan Allah untuk kemaslahatan seluruh manusia, lebih banyak dari apa yang kami lakukan untuk kepentingan diri kami. Kami adalah milik wahai saudara-saudara tercinta. Sesaatpun kami tidak akan menjadi musuh kalian.”
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...