Thursday, August 1, 2013

Deria Ke - 6 Dalam Usrah


Sang naqib bertanya,

"Cuba teka, dalam diri manusia, ada berapa deria?"

Jawab mad'u-mad'unya pantas,

"Ada 5 bang! Deria rasa, sentuh, lihat, bau dan dengar."

Naqibnya bertanya lagi,

"Mereka yang berkecimpung dalam perjuangan untuk menegakkan Islam, ada 1 lebihan menjadikan beliau ada 6 deria. Mahu adik-adik semua tahu?"

Respon mad'u-mad'unya manja,

"Nak tahu-nak tahu!"

Lalu berkatalah sang naqib,

"Itulah deria SENSITIF. Mereka ialah orang yang hidup perasaan SENSITIFnya terhadap sesama manusia."


Perlunya Nuqaba’ Miliki Deria Sensitif Terhadap Mad’u

Nabi SAW bersabda:

“Barangsiapa yang tidak peduli urusan kaum muslimin, maka dia bukan di kalangan mereka.”

Al-Fadhil Ustaz Yahya Othman di dalam bukunya 'Amal Jamaie : Pengertian & Tuntutannya' juga ada menyebut sabda Rasulullah SAW iaitu:

"Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang kuat daya hidupnya di tengah-tengah manusia - punya sensitiviti yang baik."

Hadis-hadis ini menunjukkan betapa pentingnya seorang individu muslim itu mengambil tahu dan sensitif tentang apa yang berlaku terhadap saudara seagamanya. Hal ini termasuklah dalam institusi usrah yang melibatkan komuniti kecil di antara naqib dan ahli-ahlinya.

Naqib yang cemerlang sudah tentu bukan sekadar berusaha menghabiskan silibus usrah yang telah ditetapkan sahaja di dalam usrah, bahkan beliau berusaha untuk ambil tahu apakah yang berlaku di dalam kehidupan setiap ahli usrahnya. Ini ialah contoh checklist untuk para naqib memeriksa sejauh mana mereka sensitif terhadap ahli usrahnya:
  • Apakah perkara yang gemar dilakukannya pada masa lapang?
  • Siapakah kawan karibnya?
  • Bagaimanakah amal ibadah sehariannya?
  • Apakah makanan dan minuman kesukaannya?
  • Bagaimanakah keadaan keluarganya?
  • Apakah tanggungjawabnya di sekolah/IPT selain pelajar?
  • Apakah kelebihan atau kepakaran yang dimiliki olehnya?
  • Di manakah tempat tinggalnya?
  • Bagaimanakah kondisi akademiknya?
  • Apakah bahan bacaan yang diminati olehnya?

Apakah sedetail itu perlu diketahui oleh para naqib? Jawapannya ialah ‘ya’, bahkan jika mengetahui dengan lebih mendalam adalah lebih baik. Naqib boleh menggunakan maklumat tersebut untuk merapatkan hubungan sesama ahli usrah di samping mewujudkan rasa sayang antara satu sama lain. Namun begitu, sensitif yang dimaksudkan di sini bukanlah perasaan sensitif tidak tentu hala ya! Sensitif yang dimaksudkan di sini ialah rasa ambil berat tentang keperluan hidup di antara satu dengan yang lain.

Apakah hasil yang akan diperolehi lagi apabila wujudnya perasaan sensitif sesama ahli usrah? Ia seperti berikut:

·         Mendapat kasihan belas dari Allah
·         Sikap saling bantu-membantu akan dapat diterapkan
·         Semakin yakin menempuhi cabaran hidup
·         Sikap pentingkan diri sendiri dapat dikikis

Budaya suka memberi dari meminta-minta juga dapat diwujudkan apabila rasa sensitif ini dimiliki oleh ahli usrah. Lantas ia akan menepati sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A:

“Tangan yang berada di atas (memberi) itu adalah lebih baik dari tangan yang berada di bawah (meminta-minta)"

Akhirnya, sama-sama kita merenungi kata-kata As-Syahid Imam Hasan Al-Banna ini di dalam mengungkapkan rasa sensitifnya kepada sasaran dakwahnya,

Sungguh, kami berbuat di jalan Allah untuk kemaslahatan seluruh manusia, lebih banyak dari apa yang kami lakukan untuk kepentingan diri kami. Kami adalah milik wahai saudara-saudara tercinta. Sesaatpun kami tidak akan menjadi musuh kalian.”

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...