Monday, March 4, 2013

Kenang Daku Dalam Doamu

Bismillah, salam ukhuwwah buat semua sahabat dan pelawat setia blog Quranic Group ini. Mudah-mudahan bertambah-tambahlah kejayaan dan kebahagiaan kita semua di dunia dan akhirat.


Entri blog QG kali ini ialah: 

1. Artikel Kenang Daku Dalam Doamu yang berkongsi tentang kepentingan doa sesama muslim khususnya untuk naqib dan mad'u di dalam kumpulan usrah mereka.
2. Perkembangan terkini tim dan silibus QG. 

Selamat membaca :)

Kenang Daku Dalam Doamu

Syahmi telah dijemput ayahnya pulang ke rumah menaiki kereta. Baru sahaja beliau tamat kelas tambahan yang diadakan di sekolahnya pada waktu petang. Sebaik kereta yang dipandu ayahnya dihentikan di simpang empat jalan kerana lampu isyarat telah bertukar dari kuning kepada merah, hujan mula turun dengan lebatnya. Syahmi melihat suasana di luar cermin kereta milik ayahnya dengan pandangan yang biasa. "Semalam pun sudah hujan," kata Syahmi di dalam hatinya.

Tiba-tiba, kelibat seorang pemuda yang menunggang motosikal muncul berhenti di depannya. Syahmi memerhatikan pemuda tersebut dengan penuh minat. Kelihatan pemuda itu tergesa-gesa  mengambil baju hujan di dalam raga motosikalnya. Kemudian pemuda itu mengeluarkan pula plastik hitam di dalam poket seluarnya lalu membungkus beg galas yang dibawanya ke dalam plastik hitam tersebut dan diletakkan di dalam raga motosikalnya. Semua tindakan itu dilakukan adalah untuk melindunginya dari hujan yang semakin lebat.

Dari pemerhatian yang penuh minat, Syahmi mula menatapnya dengan rasa simpati. Beliau dapat duduk di dalam kereta berhawa dingin dengan selesa tanpa setitis hujan pun menyentuh tubuhnya, sedangkan pemuda itu pula kelihatan berada di dalam situasi yang sukar. Habis basah kuyup ditimpa hujan.

Terdetik di dalam hati Syahmi, "Ya Allah, bantulah abang ini. Lepaskanlah dia dari kesusahan tu. Aku sangat kasihan melihatnya..."

***

Pernahkah kita melalui situasi seperti Syahmi? Pasti pernah bukan? Cuma, adakah hati kita terdetik perkara yang sama seperti beliau?

Sebenarnya, dalam sedar atau tidak, detik hati Syahmi itu telah menepati sebuah hadis Rasulullah SAW ini:
"Doa seorang saudara kepada saudaranya yang lain (sedangkan saudaranya itu tidak mengetahui doa tersebut) adalah doa yang pasti diperkenankan, di sisinya seorang malaikat yang ditugaskan di mana setiap kali ia mendoakan kebaikan atau keselamatan untuk saudaranya, malaikat yang ditugaskan itu berkata; Amin, dan bagimu seperti itu juga!"
(Hadith riwayat Muslim)

Justeru, tersangatlah baik apabila sesama ahli usrah saling mendoakan antara satu sama lain walaupun tanpa pengetahuannya. Bila terkenang sahaja wajah sahabat-sahabat, terus kita kirimkan doa kebaikan, sekalipun cuma terlintas di dalam hati. Dan jangan lupa selepas tamat usrah sebelum berpisah, pesan kepada teman-teman dengan ucapan; "kenang daku dalam doamu". ^__^

Perkembangan terkini tim dan silibus QG


Alhamdulillah, ini adalah artikel keempat tim QG yang telah disiarkan di dalam majalah Gen-Q isu ke 18. Mudah-mudahan sedikit usaha ini akan dikira sebagai amal ibadah oleh Allah SWT. Jangan lupa untuk mendapatkan majalah Gen-Q ini di kedai-kedai buku berdekatan saudara ya. Nantikan artikel kelima dari kami untuk keluaran yang seterusnya. Bagi saudara yang ingin mengikuti perkembangan majalah Gen-Q dengan lebih dekat, klik sahaja link ini - http://www.facebook.com/majalahGenQ?fref=ts dan terus berikan 'LIKE' kepadanya.  =)

Muka depan majalah Gen-Q isu 18

Berkaitan perkembangan buku Quranic Group (QG) pula, seorang sahabat dari SMA Puchong, Selangor telah menempah lebih dari 300 unit buku QG untuk digunakan sebagai pengisian usrah beliau bersama pelajar-pelajar sekolahnya. Juga seorang sahabat dari Sungai Petani, Kedah dan dari USM Pinang telah menghubungi tim QG dan telah memesan silibus usrah ini 1 set.

Tim QG mendoakan semoga perjalanan usrah mereka berjalan lancar InsyaAllah. Bagi saudara yang berminat, boleh terus rujuk button 'Tentang QG' di atas. Dan kepada yang ingin mengetahui senarai sahabat-sahabat yang pernah melanggan QG ini, boleh rujuk button 'Pelanggan Kami' juga di atas.

Tim QG mendoakan semoga usaha-usaha baik ini diberkati dan mendapat kasih sayang Allah. Tim QG juga mengalu-alukan saudara yang ingin menjemput dan bekerjasama dengan kami di dalam   membuat kebaikan kepada masyarakat kita InsyaAllah.

Sekian, jazakallah khairan kathira.

^^ Mencari Hikmah Untuk Ummah ^^   

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...