Wednesday, March 20, 2013

Keistimewaan Seorang Naqib/Naqibah


Bismillah, salam ukhuwwah buat semua sahabat dan pelawat setia blog Quranic Group ini. Mudah-mudahan kita semua sentiasa di dalam rahmat dan keberkatan Allah SWT. 


Entri terbaru blog QG kali ini ialah: 

1. Artikel bertajuk 'Keistimewaan Seorang Naqib/Naqibah
2. Perkembangan terkini tim dan silibus QG 

Selamat membaca :)

Keistimewaan Seorang Naqib/Naqibah

Di dalam usrah, naqib/naqibah ialah individu yang berperanan mengendalikan segala aktiviti ahli usrah di bawahnya. Mereka ialah pemudahcara kepada ahli usrah untuk memahami Islam dalam erti kata yang sebenar. Kepada sesiapa yang telah dilantik menjadi naqib/naqibah, ucaplah rasa syukur kepada Allah dan ambillah peluang ini untuk melaksanakan amanah yang diberikan dengan komitmen yang terbaik.  

Khas untuk naqib/naqibah, mahukah saudara/saudari tahu apa keistimewaan yang boleh diperolehi dengan taklifan tersebut? Ia boleh dikelaskan kepada 5P iaitu seperti berikut:

P1 - PAHALA
Mendapat ganjaran pahala yang banyak di atas setiap ilmu yang dikongsikan. Akaun pahala naqib/naqibah akan semakin bertambah apabila ahli usrah melaksanakan atau menyampaikan pula kepada orang lain. Naqib/naqibah tentu tahu ilmu yang dimanfaatkan ini ialah salah satu dari 3 amalan yang disebut Nabi SAW yang tidak akan putus pahalanya sekalipun kita sudah tiada di dunia ini kan? 

P2 - PEMIMPIN
Boleh belajar menjadi pemimpin kepada sebuah komiti kecil. Ianya tangga permulaan yang baik ke arah menjadi pemimpin kepada organisasi yang lebih besar kelak. Naqib/naqibah boleh meninjau sendiri ramai ulama' dan profesional muslim yang banyak menyumbang kepada ummah hari ini yang memiliki kumpulan usrah mereka masing-masing bahkan sebahagian dari mereka menjadi naqib dan naqibah kepada kumpulan usrah mereka.

P3 - PERCAKAPAN
Dapat mengasah kemahiran percakapan dengan baik melalui interaksi bersama ahli usrah. Contohnya cuba kita bayangkan jika kita sampaikan berita gembira kepada mad'u dalam nada sedih dan berita sedih pula dalam nada gembira. Apa reaksi mad'u kita? Pasti terkebil-kebil mata mereka kehairanan kan? :)

P4 - PENGURUS
Mengetahui bagaimana menguruskan hal-hal kemanusiaan. Ini kerana mengendalikan usrah memang tidak boleh elak dari naqib/naqibah mengambil berat soal jiwa, emosi dan perasaan mad'u. Naqib/naqibah boleh jadi akan mendapat mad'u yang pendiam, cepat merajuk, suka pendam masalah dan boleh jadi juga mad'u yang suka bercakap, aktif sampai tidak boleh duduk diam dan suka cerita masalahnya. Teruja bukan? :)  

P5 - PERBAIKI
Berpeluang memperbaiki diri sendiri. Naqib/naqibah yang baik akan berasa bimbang jika mereka tidak dapat lakukan apa yang mereka suruh kepada mad'u mereka. Dengan sendirinya mereka akan lebih berhati-hati dalam kehidupan mereka.

Apa yang penting kepada naqib/naqibah, berdoalah kepada Allah mudah-mudahan setiap usaha yang kita lakukan di dalam membentuk ahli usrah yang komited kepada agamaNya ialah lahir dari hati yang tulus dan ikhlas. Berusahalah mencontohi Mus'ab bin Umair serta 12 orang naqib yang diamanahkan oleh Rasulullah SAW di dalam peristiwa perjanjian Aqabah pertama untuk mengembangkan Islam di Madinah. Hasilnya, Mus'ab telah pulang ke Mekah bertemu Nabi SAW dengan membawa berita gembira iaitu kota Madinah telah dibenderangkan dengan cahaya Islam lantas menjadi faktor asas Nabi SAW untuk berhijrah ke sana.

Memangnya, istimewa seorang naqib/naqibah sehingga tangan merekalah antara asbab terbentuknya sebuah negara Islam!

Selamat berusrah :) 

Perkembangan terkini tim dan silibus QG


Alhamdulillah, ini adalah artikel kelima tim QG yang telah disiarkan di dalam majalah Gen-Q isu ke 19. Melaluinya, kami telah mendapat respon yang positif dari sahabat di UiTM Jengka. Beliau bercadang untuk melaksanakan modul tersebut di dalam usrahnya. 

Jangan lupa untuk mendapatkan majalah Gen-Q ini di kedai-kedai buku berdekatan saudara ya. Nantikan artikel keenam dari kami untuk keluaran yang seterusnya. Bagi saudara yang ingin mengikuti perkembangan majalah Gen-Q dengan lebih dekat, klik sahaja link ini - http://www.facebook.com/majalahGenQ?fref=ts dan terus berikan 'LIKE' kepadanya.  =)


Berkaitan perkembangan buku Quranic Group (QG) pula, seorang guru dari SMK Seri Lalang, Kluang, Johor telah mendapatkan 5 set buku ini untuk kegunaan usrah di sekolahnya. Tim QG mendoakan semoga ia dapat bantu sedikit sebanyak beliau di dalam pengisian usrah.

Tim QG juga ingin memaklumkan kepada semua pelanggan setia buku QG bahawa QG 2 bahagian 2 sedang dalam proses cetakan seterusnya kerana sudah kehabisan stok. Ia dijangka siap hujung bulan ini dengan wajah yang baru. Justeru itu, mohon bersabar ya. 


Tim QG mendoakan semoga usaha-usaha baik ini diberkati dan mendapat kasih sayang Allah. Tim QG juga mengalu-alukan saudara yang ingin menjemput dan bekerjasama dengan kami di dalam   membuat kebaikan kepada masyarakat kita InsyaAllah.

p/s: Sekiranya saudara ingin posting setiap entri di dalam blog ini terus meluncur masuk ke dalam email saudara secara automatik sebaik sahaja blog ini diupdate, saudara dijemput untuk memasukkan email di dalam ruangan 'DAPATKAN MAKLUMAT TERKINI' di bahagian kanan blog ini. Sistem 'Feedburner' akan membantu memudahkan urusan penyampaian maklumat kepada saudara InsyaAllah.


Sekian, jazakallah khairan kathira.

^^ Mencari Hikmah Untuk Ummah ^^   

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...