Monday, March 2, 2015

3 Tips Kendali Ahli Usrah Pasif


Bismillah. SAW.
Baru-baru ini kami ditanya oleh seorang peserta bengkel 'self development' untuk nuqaba'.
Soalannya ialah bagaimana menangani ahli usrah yang asyik cakap "tak tahu" sahaja di dalam majlis usrah? Walau ditanya dengan soalan yang senang, masih macam itu. Jika di luar usrah pula, mereka pasif sahaja. Layan seperti tidak mahu layan.

Lalu dikongsikan 2 tips secara spontan:

1 - Beri penghargaan di atas komitmen mereka hadir usrah. Sebutkan rasa gembira dan teruja kita dengan kesanggupan mereka meluangkan masa. Ahli usrah yang bersikap sedemikian boleh jadi dalam mood tidak baik. Mudah-mudahan penghargaan tersebut memberikan 'first impression' yang bagus kepada mereka sebelum majlis bermula.

2 - Buat aktiviti bermodul. Kita perlu pelbagaikan pendekatan dari sekadar bercakap sahaja. Boleh jadi beliau ialah jenis kanistetik orangnya.

Itu 2 tips semasa di dalam majlis usrah. Bagaimana pula di luar majlis usrah? Apa kata kita cuba tip ini.

Ziarah ke rumah mereka. Itu ialah antara tip paling berkesan untuk kita 'masuk' di dalam kehidupan mad'u secara menyeluruh. Di sana kita akan menemui bagaimana sebenar mereka meniti kehidupan ini.
Melalui itu, kita akan tahu apabila melihat kemesraan keluarganya, suasana rumahnya, makanan yang disediakan, akhlak dan adab yang ditunjukkan, bahan bacaan yang ada, topik perbualan yang dibincangkan dan lain-lain.
Lalu membantu kita untuk memikirkan pendekatan sepatutnya yang dilakukan terhadap mad'u tersebut.
Juga jangan lupa berusaha memperkenalkan diri kita dan mengenali mereka khususnya kedua ibu bapa mad'u tersebut. Di situ letaknya rahsia In Syaa Allah kepercayaan keluarga mereka terhadap kita.
Lantas memudahkan kita untuk membawa mad'u tersebut nanti di dalam medan perjuangan. Bahkan tidak mustahil dengan keluarganya sekali sekiranya diizinkan Allah.

***
Majlis usrah ialah majlis ilmu. Majlis ilmu ialah taman syurga di dunia. Bagaimana ciri-ciri taman syurga yang kita rasa?
Sudah pasti kita rasakan di dalamnya terhimpun ketenangan, kegembiraan, keseronokan, kasih sayang dan bermacam-macam perkara yang menyukakan hati bukan?
Oleh itu, nuqaba' perlu memainkan peranan mewujudkan suasana seperti itu di dalam majlis usrah yang dikendalikannya!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...