Monday, April 14, 2014

#5 Modul Usrah : Tak Kenal Maka Tak Cinta


Bismillah, salam ukhuwwah buat semua sahabat dan pelawat setia blog Quranic Group ini. Mudah-mudahan bertambah-tambahlah kejayaan dan kebahagiaan kita semua di dunia dan akhirat.

Entri blog QG kali ini ialah tentang artikel modul Tak Kenal Maka Tak Cinta yang boleh digunakan oleh para nuqaba' untuk menumbuhkan kecintaan sesama ahli usrah kerana Allah SWT.

Selamat membaca :)

Tak Kenal Maka Tak Cinta

Anas R.A mengatakan bahawa seorang berada di sisi Rasulullah SAW, lalu salah seorang sahabat melewatinya. Orang yang berada di sisi Rasulullah SAW tersebut mengatakan, “Aku mencintai dia, ya Rasulullah.” Lalu Nabi bersabda, “Apakah kamu sudah memberitahukan dia?” Orang itu menjawab, “Belum.” Kemudian Rasulullah SAW bersabda, “Beritahukan kepadanya.” Lalu orang tersebut memberitahukannya dan berkata, “Sesungguhnya aku mencintaimu karena Allah.” Kemudian orang yang dicintai itu menjawab, “Semoga Allah mencintaimu karena engkau mencintaiku keranaNya.” (Riwayat Abu Dawud dengan sanad shahih)

Berdasarkan hadis di atas, kita boleh memahami bahawa itulah antara ucapan terbaik yang dianjurkan untuk dilafazkan kepada mereka yang bersaudara serta berkasih sayang kerana Allah. Ianya sudah pasti mengukuhkan hubungan silaturrahim di antara 2 orang yang bersaudara. Persoalannya, sudahkah naqib/naqibah dan ahli usrah yang membaca artikel ini mengamalkan ucapan tersebut di dalam kumpulan usrah masing-masing? Dan sejauh manakah kita mengambil peluang mengenali dan merapati ahli kumpulan usrah dengan mengharapkan kebaikan mereka?

Artikel kali ini menyediakan satu aktiviti yang boleh dilakukan di dalam kumpulan usrah sebagai memenuhi apa yang telah dinyatakan tadi. Selamat mencuba!      

Aktiviti : Tak Kenal Maka Tak Cinta

Peralatan yang diperlukan : Tiada
Kaedah penyampaian : Aktiviti berkumpulan

Bil
Objektif
1
Memberikan maklum balas terhadap diri orang lain
2
Kesedaran tentang diri sendiri dari sudut pandangan orang lain
3
Menumbuhkan kecintaan sesama ahli usrah kerana Allah SWT

Kaedah perlaksanaan :

1.      Naqib/naqibah mengarahkan supaya ahli usrah duduk dalam satu bulatan kecil.

2.      Naqib/naqibah meminta seorang ahli usrah duduk di tengah-tengah bulatan.

3.      Setiap ahli usrah diminta memberi tanggapan tentang ahli usrah yang duduk di tengah-tengah bulatan tersebut.

4.      Ahli usrah dilarang untuk memberi kritikan yang berbentuk penghinaan atau yang boleh menjatuhkan maruah seseorang.

5.      Apabila semua ahli usrah telah memberikan tanggapan mereka, seorang ahli usrah yang baru mengambil alih tempat di tengah-tengah dan menggantikan ahli tadi.

6.      Proses tadi diulang sehingga semua ahli usrah dapat maklum balas daripada ahli-ahli usrah yang lain.

7.      Setelah selesai, naqib/naqibah meminta ahli usrah memberi pendapat tentang aktiviti tersebut.

8.      Naqib/naqibah membuat rumusan aktiviti:
·         Tiada manusia biasa yang sempurna di dunia ini.
·         Setiap insan perlu tabah menghadapi apa juga kritikan orang lain.
·         Setiap yang hidup pasti menghadapi dugaan.
·         Setiap manusia pasti ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.

9.      Sebagai akhirnya, semua ahli usrah termasuk naqib/naqibah diminta untuk mengucapkan “Saya sayang ___ kerana Allah” dengan penuh penghayatan kepada setiap orang. Tempat kosong tersebut merujuk kepada nama ahli usrah tersebut.

Didoakan dengan mempraktikkan aktiviti ini akan menyebabkan perpaduan sesama ahli usrah semakin utuh dan kuat. Ia menunjukkan luar biasa ukhuwah yang dijana kerana mereka berkenal-kenalan antara satu sama lain di atas sebab cinta kerana Allah dan sayangkan saudara mereka yang kuat pegangan agamanya itu. In Syaa Allah. 

Monday, March 10, 2014

Takut Bercakap Dalam Usrah?


[Situasi Dalam Majlis Usrah]

Naqib  : Ok, berdasarkan tayangan tadi, abang nak minta pandangan Fahmi. Boleh dik?

Fahmi  : Err, tak boleh bang. Saya tak pandailah nak bagi-bagi pandangan ni. Bagi Zamri lah.

Naqib  : Kamu faham kan cerita tadi Fahmi?

Fahmi  : Ya faham bang. Cuma, tak retilah nak cakap macam mana. Tengok jer bolehlah. Lagipun rasa berdebar pula. Bagi sahabat-sahabat lain dululah bang…

Zamri  : Ala kau ni Fahmi. Cakap jelah apa yang kau faham tu. Takkan tak boleh. Sikit pun jadilah.

Fahmi    : Err..ok, cakap sikit jer boleh bang?

Naqib  : Ya, boleh dik. Cakaplah.

Fahmi  : Ok, apa yang saya faham dari tayangan tadi…

***

Usrah Tempat Mengasah Kemahiran Bercakap

Salah satu keunikan majlis ilmu melalui usrah ialah ia boleh menjadi medium berkesan untuk mengasah bakat dan kemahiran ahli-ahlinya di dalam bercakap. Bagaimana? Iaitu dengan naqib dan naqibah boleh fokus secara terus dan personal kepada setiap ahli-ahli usrahnya. Tambahan pula medan usrah lebih kecil sasaran dakwahnya. Ia berbeza dengan pendekatan kuliah dan ceramah yang mana medannya lebih luas.

Beza Usrah Dengan Kuliah/Ceramah
Usrah
Kuliah/Ceramah
Berlaku 2 hala
Berlaku 1 hala
Bilangan mad’u yang kecil
Bilangan mad’u tanpa batas
Boleh fokus terus kepada setiap mad’u
Sukar untuk fokus setiap mad’u
Fleksibel, boleh dibuat di mana-mana
Perlu tempat yang sesuai dengan kapasiti mad’u

Berdasarkan dialog di atas, ia menunjukkan situasi bagaimana Fahmi yang mulanya agak gementar untuk bercakap di dalam usrah. Hasil peluang dari naqib dan sokongan dari kawannya Zamri, beliau akhirnya berjaya mengatasi perasaan ketakutan yang ada pada dirinya. Itu ialah contoh bagaimana usrah boleh menjadi platform yang baik untuk permulaan membina skill bercakap, berbanding diminta bercakap di dalam ceramah atau kuliah yang sudah pasti suasananya yang ramai akan lebih menggerunkan!

Walaupun begitu, melalui beberapa pemerhatian kita, ketika diberi peluang oleh naqib/naqibah, ada juga sebahagian remaja yang masih takut-takut untuk bercakap sama ada untuk memberikan pandangan mahupun ketika diminta melontarkan idea. Untuk itu, di sini dikongsikan beberapa rasional dan kelebihan tidak perlu takutnya kita di dalam bersuara memberikan pandangan:











Sebagai akhirnya, untuk memohon kepada Allah dipermudahkan urusan berkongsi kebaikan, sama-sama kita amalkan doa yang pernah dibaca oleh Nabi Musa AS ketika mahu berdepan dengan Firaun, si penguasa Mesir yang zalim itu. Kisah ini juga menjadi hujah pentingnya kita menggilap seni komunikasi kita, kerana kita belum tahu mungkin suatu hari nanti akan tiba waktunya giliran kita pula untuk berkata benar di hadapan pemimpin yang zalim!

Doa Dilapangkan Hati & Dimudahkan Urusan

Dia (Musa) berkata, “Ya Tuhanku lapangkanlah dadaku, dan mudahkanlah untukku urusanku, dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku, agar mereka mengerti perkataanku.”
(Surah Taha 20: 25-28)

Saturday, February 15, 2014

Sekitar Program Memperkasakan Nuqaba' Usrah


Bismillah, salam ukhuwwah buat semua sahabat dan pelawat setia blog Quranic Group ini. Mudah-mudahan bertambah-tambahlah kejayaan dan kebahagiaan kita semua di dunia dan akhirat.

Entri blog QG kali ini ialah: 

1. Gambar-gambar sekitar program memperkasakan nuqaba' untuk usrah sekolah di Kelantan kendalian tim QG.

2. Perkembangan terkini silibus usrah QG. 

Selamat membaca :)

Sekitar Program Memperkasakan Nuqaba'

Alhamdulillah tim QG telah diberi kepercayaan oleh pihak Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Falahiah (SMKAF) dan Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah untuk mengendalikan slot memperkasakan nuqaba' sekolah mereka. Ada pengisian khas yang telah diberikan kepada kami. Ianya seperti berikut:


 Ceramah 'Memahami & Menghayati Usrah Berjaya' di Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah


Bengkel Nuqaba' Super di SMKA Falahiah 


Bengkel Nuqaba' Super di SMKA Falahiah

Sama-sama kita doakan yang terbaik terhadap perjalanan usrah yang akan mereka kendalikan tahun ini In Syaa Allah. Amin.

Kata seorang naqib, "Kejayaan Sebenar Seorang Naqib/Naqibah Ialah Apabila Beliau Dapat Mengkaderkan Ahli Usrah Yang Lebih Hebat Berjuang Daripada Beliau."

Perkembangan terkini tim silibus QG


Untuk pengetahuan para pembaca, buku QG 1 bahagian 1 ini telah kehabisan stok kerana mendapat sambutan yang menggalakkan dari sekolah-sekolah yang ingin memulakan usrah pada tahun ini. Oleh itu pihak tim QG sedang menunggu stok baru yang dijangka sampai pada minggu depan In Syaa Allah. Sebaik sahaja stoknya ada, kami In Syaa Allah akan hubungi secepat mungkin saudara-saudari yang telah membuat tempahan.

Segala kesulitan sekiranya ada kesulitan di pihak saudara-saudari kami mohon maaf banyak-banyak.

Tim QG mendoakan mudah-mudahan usaha-usaha ini diberkati dan mendapat kasih sayang Allah. Tim QG juga mengalu-alukan saudara-saudari yang ingin menjemput dan bekerjasama dengan kami di dalam   membuat kebaikan kepada masyarakat kita InsyaAllah. 

p/s: Sekiranya saudara ingin posting setiap entri di dalam blog ini terus meluncur masuk ke dalam email saudara secara automatik sebaik sahaja blog ini diupdate, saudara dijemput untuk memasukkan email di dalam ruangan 'DAPATKAN MAKLUMAT TERKINI' di bahagian kanan blog ini. Sistem 'Feedburner' akan membantu memudahkan urusan penyampaian maklumat kepada saudara InsyaAllah.

Sekian, kami suka!

^^ Mencari Hikmah Untuk Ummah ^^   

Sunday, January 19, 2014

Kemahiran Mendidik Di Dalam Usrah


Bismillah, salam ukhuwwah buat semua sahabat dan pelawat setia blog Quranic Group ini. Didoakan kita semua sentiasa di dalam rahmat dan keberkatan Allah SWT. 
Entri terbaru blog QG kali ini ialah: 

1. Artikel bertajuk 'Kemahiran Mendidik Di Dalam Usrah' yang berkongsi tentang teknik dan peringkat-peringkat dalam proses didikan tarbiah Rasulullah SAW. In Syaa Allah boleh dijadikan koreksi bersama naqib/naqibah di dalam menjalankan usrah masing-masing.
2. Perkembangan terkini tim dan silibus QG 

Selamat membaca :)

Kemahiran Mendidik Di Dalam Usrah

Mendidik Gaya Rasulullah SAW 

Jika disingkap kembali sejarah proses tarbiah melalui usrah, kita dapat mengetahuinya bahawa ia dimulakan oleh nabi kita Muhammad SAW. Kesukaran dan kesulitan baginda SAW mengadakan usrah bersama para sahabat di rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam boleh membuatkan kita khususnya naqib dan naqibah rasa malu dan serba salah jika tidak buat usrah dengan seserius mungkin, sebagaimana seriusnya Rasulullah SAW.

Oleh sebab itu, sebagai naqib/naqibah, menjadikan Baginda SAW sebagai contoh ikutan dalam mengendalikan mad’u (sasaran dakwah) kita ialah merupakan satu kewajipan dan bukannya pilihan. Hal ini dinyatakan sendiri oleh Allah SWT di dalam Al-Quran yang bermaksud “Sesungguhnya pada diri Rasulullah terdapat suri teladan yang baik bagi sesiapa sahaja yang mengharapkan (pertemuan dengan) Allah dan hari akhirat serta banyak mengingati Allah.” (Surah Al-Ahzab 33: 21)

Apakah istimewanya cara Rasulullah SAW di dalam mendidik para mad’unya? Di dalam buku Al-Rasul Al-Muallim wa Asalibuhu fi Al-Ta’lim karangan Sheikh Abdul Fattah Abu Ghuddah, kita boleh mendapati bermacam teknik didikan yang digunakan oleh Baginda SAW. Antaranya ialah:

  • ·         Mengulang penjelasan dan mengakhiri penjelasan dengan suatu jawapan
  • ·         Memilih kesempatan yang tepat dalam memberikan pengajaran
  • ·         Memerhati situasi dan keadaan mad’u
  • ·         Mendidik secara berperingkat
  • ·         Memberi contoh melalui teladan dan akhlak mulia 
  • ·         Mengajukan pertanyaan untuk mengetahui sejauh mana kefahaman mad’u
  • ·         Menggunakan analogi atau perumpamaan dalam pengajaran

Melalui teknik didikan gaya Rasulullah SAW tersebut, naqib dan naqibah boleh mempraktikkannya di dalam usrah yang kita jalankan. Selain itu, kita juga boleh mengambil inspirasi daripada 10 kaedah fiqh dakwah dari buku Ad-Da’wah: Qawaid wa Ushul (Dakwah : Kaedah dan Usul) karangan Sheikh Juma’ah Amin. Beliau telah merangka proses didikan sebagaimana berikut:

  1. ·         Menunjukkan teladan sebelum berdakwah
  2. ·         Mengikat hati sebelum memperkenalkan
  3. ·         Memperkenalkan sebelum memberi tugas
  4. ·         Bertahap dalam memberikan tugasan
  5. ·         Memudah bukan menyusahkan
  6. ·         Memulakan yang pokok sebelum cabang
  7. ·         Memberi harapan sebelum ancaman
  8. ·         Memberi kefahaman bukan menyampaikan semata-mata
  9. ·         Pendidikan bukan menunjukkan keburukan
  10. ·         Murid kepada guru bukan murid kepada buku

Justeru itu, apabila kita dapat menguasai kemahiran didikan ini, In Syaa Allah perjalanan usrah kita akan bertambah lancar lantas memberikan kesan yang hebat. Sekiranya ia konsisten dilaksanakan, semakin ramai mad’u yang berkualiti dapat dihasilkan dan masyarakat kita akan semakin berkembang dalam suasana kebaikan. Mudah-mudahan usaha-usaha ini dapat mengembalikan terhasilnya umat Islam yang dapat menguasai 2/3 dunia sebagaimana yang terukir di dalam sejarah!     

Wallahualam. Astaghfirullah.

Perkembangan terkini tim dan silibus QG

Berikut ialah tempahan-tempahan yang telah dibuat oleh rakan-rakan usrah kita:


 120 unit ke Arau, Perlis dan 1 set ke Kuala Terengganu


Lebih 1000 unit ke Selama, Perak


Hampir 200 unit ke MRSM di utara tanahair


Tim QG mendoakan buku-buku tersebut dapat membantu rakan-rakan sekalian di dalam memperkasakan pengisian usrah di tempat masing-masing.

Tim QG mendoakan perjalanan usrah mereka berjalan lancar dan mempunyai nilai tambah dengan adanya buku ini InsyaAllah. Bagi saudara yang berminat, boleh terus rujuk button 'Tentang QG' di atas. Dan kepada yang ingin mengetahui senarai sahabat-sahabat yang pernah melanggan QG ini, boleh rujuk button 'Pelanggan Kami' juga di atas.

Tim QG mendoakan semoga usaha-usaha baik ini diberkati dan mendapat kasih sayang Allah. Tim QG juga mengalu-alukan saudara yang ingin menjemput dan bekerjasama dengan kami di dalam   membuat kebaikan kepada masyarakat kita InsyaAllah.

Sekian, jazakallah khairan kathira.

^^ Mencari Hikmah Untuk Ummah ^^   

Monday, December 9, 2013

#4 Modul Usrah - Siapa Saya?



Bismillah, salam ukhuwwah buat semua sahabat dan pelawat setia blog Quranic Group ini. Mudah-mudahan bertambah-tambahlah kejayaan dan kebahagiaan kita semua di dunia dan akhirat.

Entri blog QG kali ini ialah: 

1. Artikel modul Siapa Saya? yang boleh digunakan oleh para nuqaba' untuk mencetuskan suasana ceria dan seronok dalam berusrah.
2. Perkembangan terkini tim dan silibus QG. 

Selamat membaca :)

Kepentingan Rukun Taa’ruf Diteruskan

Rukun usrah pertama iaitu proses berkenal-kenalan antara sesama ahli usrah perlu diteruskan dari semasa ke semasa. Ianya tidak cukup sekiranya dibuat di dalam pertemuan usrah formal kali pertama sahaja. Lebih dari itu, sangat bagus jika ahli usrah mengambil kesempatan mengenali antara satu sama lain melalui perjumpaan tidak formal seperti di masjid, rumah kediaman, kelas, di kedai makan ataupun semasa bermain bersama.

Apa pentingnya ia diteruskan? Pentingnya ialah selain untuk kita mengenali sahabat seusrah, ia juga berfungsi untuk kita mengenali diri kita sendiri dengan lebih mendalam. Hal ini kerana melalui penilaian sahabatlah akan melengkapkan pengetahuan sebenar kita terhadap diri, selain penilaian dari kita sendiri. Apatah lagi penilaian tersebut datangnya dari sahabat kita yang soleh dan solehah, yang menggunakan neraca wahyu dalam membuat penilaian.

Sama-sama kita hayati hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “ Seorang mukmin adalah cermin bagi mukmin yang lain.” (Riwayat At-Tabrani dari Anas R.A). Bahkan Aristotle, iaitu tokoh pemikir dan falsafah terkenal dari Yunani yang bukan Islam pun menganggap sahabat itu umpama cermin kerana jika hendak melihat seseorang itu, boleh melihat sahabat karibnya sahaja, kerana mereka berdua itu adalah lebih kurang sama sahaja perwatakan mereka disebabkan masing-masing saling terpengaruh antara satu sama lain dan dilihat serupa tabiatnya.

Untuk ruangan kali ini, kami suka berkongsi satu aktiviti yang boleh dilaksanakan di dalam kumpulan usrah yang berkaitan dengan mengenali diri sendiri ini. Mudah-mudahan ia dapat membantu menambahkan keceriaan dalam sesi usrah formal kita.

Aktiviti : Siapa Saya?

Peralatan yang diperlukan : Kertas A4 dan pen
Kaedah penyampaian : Melukis dan perbincangan

Bil
Objektif
1
Mengenali identiti sendiri
2
Memahami kepercayaan diri sendiri
3
Menilai diri sendiri ketika menentukan perlakuan sama ada positif mahupun negatif

 Kaedah perlaksanaan :

1.      Bahagikan kertas A4 kepada 4 bahagian sebagaimana di bawah:





1.Gambar




3.Perkara yang dibenci



2.Perkara yang disukai




4.Pandangan pada diri sendiri
*Setiap perkara yang ditulis mestilah sekurang-kurangnya tiga ciri.

2.      Pada petak pertama, ahli usrah diminta untuk melukis wajah mereka sendiri.
3.      Pada petak kedua, tulis perkara yang disukai.
4.      Pada petak ketiga, tulis perkara yang dibenci.
5.      Pada petak keempat, ahli usrah diminta untuk menulis berkaitan dengan diri mereka sendiri.
6.      Wujudkan persoalan dalam diri ahli usrah:
6.1 Adakah anda suka pada diri sendiri?
6.2 Apa pandangan orang lain terhadap diri anda? Suka atau tidak?
      7.   Naqib/naqibah membuat rumusan aktiviti:
            7.1 Siapa pun diri kita, inilah diri kita sama ada kita suka atau tidak.
            7.2 Berani membuat perubahan yang positif untuk kemajuan diri
            7.3 Berani mengaku kelemahan diri untuk kesejahteraan masa depan

In Syaa Allah, nilai yang boleh diperolehi dari aktiviti ini ialah sayangi diri sendiri dan juga orang lain.

Perkembangan terkini tim dan silibus QG


Alhamdulillah sebagaimana gambar di atas, buku QG telah menerima tempahan hampir 200 unit dari pelanggan di Perlis, Shah Alam dan Kedah. Mereka berhasrat mencuba silibus usrah ini untuk melihat keberkesanan di tempat masing-masing.

Tim QG mendoakan perjalanan usrah mereka berjalan lancar dan mempunyai nilai tambah dengan adanya buku ini InsyaAllah. Bagi saudara yang berminat, boleh terus rujuk button 'Tentang QG' di atas. Dan kepada yang ingin mengetahui senarai sahabat-sahabat yang pernah melanggan QG ini, boleh rujuk button 'Pelanggan Kami' juga di atas.

Sekiranya saudara ingin posting setiap entri di dalam blog ini terus meluncur masuk ke dalam email saudara secara automatik sebaik sahaja blog ini diupdate, saudara dijemput untuk memasukkan email di dalam ruangan 'DAPATKAN MAKLUMAT TERKINI' di bahagian kanan blog ini. Sistem 'Feedburner' akan membantu memudahkan urusan penyampaian maklumat kepada saudara InsyaAllah.

Tim QG mendoakan semoga usaha-usaha baik ini diberkati dan mendapat kasih sayang Allah. Tim QG juga mengalu-alukan saudara yang ingin menjemput dan bekerjasama dengan kami di dalam   membuat kebaikan kepada masyarakat kita InsyaAllah.

Sekian, jazakallah khairan kathira.

^^ Mencari Hikmah Untuk Ummah ^^   


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...