Monday, December 9, 2013

#4 Modul Usrah - Siapa Saya?



Bismillah, salam ukhuwwah buat semua sahabat dan pelawat setia blog Quranic Group ini. Mudah-mudahan bertambah-tambahlah kejayaan dan kebahagiaan kita semua di dunia dan akhirat.

Entri blog QG kali ini ialah: 

1. Artikel modul Siapa Saya? yang boleh digunakan oleh para nuqaba' untuk mencetuskan suasana ceria dan seronok dalam berusrah.
2. Perkembangan terkini tim dan silibus QG. 

Selamat membaca :)

Kepentingan Rukun Taa’ruf Diteruskan

Rukun usrah pertama iaitu proses berkenal-kenalan antara sesama ahli usrah perlu diteruskan dari semasa ke semasa. Ianya tidak cukup sekiranya dibuat di dalam pertemuan usrah formal kali pertama sahaja. Lebih dari itu, sangat bagus jika ahli usrah mengambil kesempatan mengenali antara satu sama lain melalui perjumpaan tidak formal seperti di masjid, rumah kediaman, kelas, di kedai makan ataupun semasa bermain bersama.

Apa pentingnya ia diteruskan? Pentingnya ialah selain untuk kita mengenali sahabat seusrah, ia juga berfungsi untuk kita mengenali diri kita sendiri dengan lebih mendalam. Hal ini kerana melalui penilaian sahabatlah akan melengkapkan pengetahuan sebenar kita terhadap diri, selain penilaian dari kita sendiri. Apatah lagi penilaian tersebut datangnya dari sahabat kita yang soleh dan solehah, yang menggunakan neraca wahyu dalam membuat penilaian.

Sama-sama kita hayati hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “ Seorang mukmin adalah cermin bagi mukmin yang lain.” (Riwayat At-Tabrani dari Anas R.A). Bahkan Aristotle, iaitu tokoh pemikir dan falsafah terkenal dari Yunani yang bukan Islam pun menganggap sahabat itu umpama cermin kerana jika hendak melihat seseorang itu, boleh melihat sahabat karibnya sahaja, kerana mereka berdua itu adalah lebih kurang sama sahaja perwatakan mereka disebabkan masing-masing saling terpengaruh antara satu sama lain dan dilihat serupa tabiatnya.

Untuk ruangan kali ini, kami suka berkongsi satu aktiviti yang boleh dilaksanakan di dalam kumpulan usrah yang berkaitan dengan mengenali diri sendiri ini. Mudah-mudahan ia dapat membantu menambahkan keceriaan dalam sesi usrah formal kita.

Aktiviti : Siapa Saya?

Peralatan yang diperlukan : Kertas A4 dan pen
Kaedah penyampaian : Melukis dan perbincangan

Bil
Objektif
1
Mengenali identiti sendiri
2
Memahami kepercayaan diri sendiri
3
Menilai diri sendiri ketika menentukan perlakuan sama ada positif mahupun negatif

 Kaedah perlaksanaan :

1.      Bahagikan kertas A4 kepada 4 bahagian sebagaimana di bawah:





1.Gambar




3.Perkara yang dibenci



2.Perkara yang disukai




4.Pandangan pada diri sendiri
*Setiap perkara yang ditulis mestilah sekurang-kurangnya tiga ciri.

2.      Pada petak pertama, ahli usrah diminta untuk melukis wajah mereka sendiri.
3.      Pada petak kedua, tulis perkara yang disukai.
4.      Pada petak ketiga, tulis perkara yang dibenci.
5.      Pada petak keempat, ahli usrah diminta untuk menulis berkaitan dengan diri mereka sendiri.
6.      Wujudkan persoalan dalam diri ahli usrah:
6.1 Adakah anda suka pada diri sendiri?
6.2 Apa pandangan orang lain terhadap diri anda? Suka atau tidak?
      7.   Naqib/naqibah membuat rumusan aktiviti:
            7.1 Siapa pun diri kita, inilah diri kita sama ada kita suka atau tidak.
            7.2 Berani membuat perubahan yang positif untuk kemajuan diri
            7.3 Berani mengaku kelemahan diri untuk kesejahteraan masa depan

In Syaa Allah, nilai yang boleh diperolehi dari aktiviti ini ialah sayangi diri sendiri dan juga orang lain.

Perkembangan terkini tim dan silibus QG


Alhamdulillah sebagaimana gambar di atas, buku QG telah menerima tempahan hampir 200 unit dari pelanggan di Perlis, Shah Alam dan Kedah. Mereka berhasrat mencuba silibus usrah ini untuk melihat keberkesanan di tempat masing-masing.

Tim QG mendoakan perjalanan usrah mereka berjalan lancar dan mempunyai nilai tambah dengan adanya buku ini InsyaAllah. Bagi saudara yang berminat, boleh terus rujuk button 'Tentang QG' di atas. Dan kepada yang ingin mengetahui senarai sahabat-sahabat yang pernah melanggan QG ini, boleh rujuk button 'Pelanggan Kami' juga di atas.

Sekiranya saudara ingin posting setiap entri di dalam blog ini terus meluncur masuk ke dalam email saudara secara automatik sebaik sahaja blog ini diupdate, saudara dijemput untuk memasukkan email di dalam ruangan 'DAPATKAN MAKLUMAT TERKINI' di bahagian kanan blog ini. Sistem 'Feedburner' akan membantu memudahkan urusan penyampaian maklumat kepada saudara InsyaAllah.

Tim QG mendoakan semoga usaha-usaha baik ini diberkati dan mendapat kasih sayang Allah. Tim QG juga mengalu-alukan saudara yang ingin menjemput dan bekerjasama dengan kami di dalam   membuat kebaikan kepada masyarakat kita InsyaAllah.

Sekian, jazakallah khairan kathira.

^^ Mencari Hikmah Untuk Ummah ^^   


Wednesday, September 18, 2013

EBook 100% PERCUMA - Kendali Usrah Secara Sistematik (Sekolah Menengah)




Bismillah.

"Ketika menulis e-book ini, kami mengingati mereka."

"Mereka menjadikan kami tidak jadi tidur untuk pastikan e-book ini siap."

"Mereka yang membuatkan kami segera bangun dari tidur untuk menulis."

"Mereka menjadikan kami berusaha berkongsi ilmu dalam e-book ini."

"Mereka menyebabkan kami memerah fikiran menggali mutiara hikmah."

"Mereka yang memberitahu kami supaya banyakkan buat baik kepada orang lain."

"Terima kasih kepada mereka."

"Mereka adalah yang sedang membaca status ini, yang terlibat dalam dunia usrah, yang pernah menjadi naqib/naqibah, yang pernah menjadi ahli kumpulan usrah, yang sering mengadu masalah usrah di sekolahnya, atau yang sedang berjinak-jinak dengan dunia usrah."

Sebagai tanda terima kasih dari kami tim www.quranicgroup.blogspot.com, dengan ini kami ingin membuat satu pengumuman penting.

Iaitu kami berbesar hati menghadiahkan e-book ini secara 100% PERCUMA.

Oleh kerana ia percuma, mohon bantuan tuan dan cikpuan kongsikan berita baik ini.


Untuk pengetahuan tuan dan cikpuan, ebook ini mengandungi jadual yang telah disusun mengikut tajuk dalam buku Quranic Group tersebut dalam satu tahun untuk sekolah menengah. Ia dirangka untuk memudahkan tuan dan cikpuan menguruskan usrah di peringkat institusi sekolah tuan dan cikpuan masing-masing. In Syaa Allah ebook versi institut pengajian tinggi (IPT) akan keluar sedikit masa nanti.

Sekiranya diperlukan, tim www.quranicgroup.blogspot.com suka membantu tuan dan cikpuan bagi memberi perincian tentang ebook ini. Kita boleh rancang untuk bertemu di mana-mana In Syaa Allah.Sekiranya ada sebarang pertanyaan,  boleh sahaja ajukan kepada kami di sini - Quranic Group - QG atau email kami - quranicgroups@gmail.com. 

Mohon taipkan nama, email dan no telefon di ruangan komen di bawah bagi tuan dan cikpuan yang ingin memilikinya.

Kami doakan kejayaan yang gilang-gemilang di dalam usrah kendalian tuan dan cikpuan. Didoakan ia menjadi saham besar kita di akhirat nanti In Syaa Allah!


p/s: Sekiranya tuan dan cikpuan ingin posting setiap entri di dalam blog ini terus meluncur masuk ke dalam email tuan dan cikpuan secara automatik sebaik sahaja blog ini diupdate, dijemput untuk memasukkan email di dalam ruangan 'DAPATKAN MAKLUMAT TERKINI' di bahagian kanan blog ini. Sistem 'Feedburner' akan membantu memudahkan urusan penyampaian maklumat kepada tuan dan cikpuan InsyaAllah.

Sekian, jazakallah khairan kathira.

^^ Mencari Hikmah Untuk Ummah ^^   

Monday, August 26, 2013

Bulatan Gembira VS Bulatan Duka


Bismillah, salam ukhuwwah buat semua sahabat dan pelawat setia blog Quranic Group ini. Didoakan kita semua sentiasa di dalam rahmat dan keberkatan Allah SWT. 
 
Entri terbaru blog QG kali ini ialah: 

1. Artikel bertajuk 'Bulatan Gembira VS Bulatan Duka' yang berkongsi tentang tanda-tanda usrah yang cemerlang dan usrah yang memerlukan penambahbaikan.
2. Perkembangan terkini tim dan silibus QG 

Selamat membaca :)

Bulatan Gembira VS Bulatan Duka

Situasi 1

“Kak Nur, boleh tak minggu hadapan kita buat usrah lama sikit? Rasa tak cukup masalah kalau sejam 30 minit sahaja. Seronok sangat perkongsian ilmu tadi“ Kata Siti kepada naqibah usrahnya, Nur selepas tamat usrah. Nur tersenyum mendengar permintaan ahli usrahnya.

Situasi 2

“Maafkan abang adik-adik semua. Abang perlu siapkan kerja sikit malam ini. Usrah kita nanti abang SMS balik bila akan dibuat ya. Salam.” Begitulah SMS yang dihantar oleh Abu kepada ahli usrahnya. SMS tersebut dihantar pada pukul 9 malam, ketika semua ahli usrahnya sudah berada di tempat usrah menunggu ketibaan beliau selaku naqib kepada mereka. Detik hati salah seorang dari ahli usrahnya, “Sudah 3 kali Abang Abu macam ini. Kalau macam ini baik aku masuk kumpulan usrah lain.”

Usrah, yang juga disebut oleh sebahagian kita sebagai ‘bulatan gembira’ itu, berkemungkinan menjadi ‘bulatan duka’ jika tidak dapat dikendalikan dengan sebaiknya. Bagi memastikan ianya ‘gembira’, ia memerlukan kedua belah pihak iaitu naqib/naqibah dan ahli usrah saling bekerjasama menghidupkan suasana kemesraannya dan berfikiran positif di dalam menghadapi cabaran berusrah.

Artikel kali ini ingin berkongsi dengan para remaja tentang tanda-tanda yang boleh ditemui dari usrah yang disebut sebagai ‘bulatan gembira’ dan tanda-tanda yang boleh ditemui dari usrah yang disebut sebagai ‘bulatan duka’, sebagaimana 2 situasi di atas.

Bulatan Gembira
Bulatan Duka
Usrah sentiasa berjalan pada masa yang telah ditetapkan dan tidak beri peluang hal yang remeh-temeh menggagalkannya.
Usrah selalu ditunda-ditunda. Kadang-kadang berlaku kejadian di mana usrah ditangguhkan tanpa makluman sebabnya.
Ahli usrah kelihatan bersemangat dan konsisten hadir. Bahasa badan mereka menzahirkan keceriaan. Respon balas dalam usrah juga sangat memberangsangkan.
Wujud reaksi tidak selesa ahli usrah. Ia boleh dilihat dari wajah kusut dan bahasa badan mereka yang tidak memberi tumpuan sepenuhnya. Kehadiran juga tidak menentu.
Naqib/naqibah yang segar, proaktif dan mengambil berat tentang kehidupan ahli usrahnya. Layanan mereka kepada ahli usrah sentiasa berada di tahap terbaik sama ada ketika berhubung di alam realiti mahupun di alam maya. 
Naqib/naqibah bersikap acuh tak acuh contohnya malas membuat persediaan sebelum mengendalikan usrah. Agak malang apabila ahli usrah sangat komited tetapi naqib/naqibah pula yang tidak memanfaatkannya.
Ahli usrah suka berkongsi dan menceritakan pengalaman dan kegembiraan mereka melalui usrah dengan orang lain sama ada ahli keluarga atau kawan-kawan.
Ahli usrah menjadikan usrah sebagai alasan mereka tidak dapat memberi tumpuan kepada perkara lain contohnya di dalam pelajaran dan aktiviti persatuan yang disertai.   
Ahli usrah bertanya, “Bila akan diadakan lagi?”
Ahli usrah bertanya, “Bila mahu habis usrah?”

Mudah-mudahan dengan mendapat gambaran yang jelas tentang tanda-tanda ‘bulatan gembira’ dan ‘bulatan duka’ ini, kita akan segera melakukan penambahbaikan jika didapati tanda ‘bulatan duka’ lebih menghampiri usrah kita. Bak kata pepatah, ‘mencegah lebih baik daripada merawat’.

Dan jika kita dapati tanda-tanda ‘bulatan gembira’ lebih menguasai usrah kita, bersyukurlah dan teruskan berusaha membangunkannya dan usah cepat berpuas hati dengan pencapaian tersebut.


Didoakan ia menjadi saham besar kita di akhirat nanti In Syaa Allah!

Perkembangan terkini tim dan silibus QG

Alhamdulillah, ini adalah artikel seterusnya tim QG yang telah disiarkan di dalam majalah Gen-Q isu ke 25. Jangan lupa untuk mendapatkan majalah Gen-Q ini di kedai-kedai buku berdekatan saudara ya. Bagi saudara yang ingin mengikuti perkembangan majalah Gen-Q dengan lebih dekat, klik sahaja link ini - http://www.facebook.com/majalahGenQ?fref=ts dan terus berikan 'LIKE' kepadanya.  =)


Berkaitan perkembangan buku Quranic Group (QG) pula, seorang pensyarah dari Politeknik Arau, Perlis telah mendapatkan 5 set buku ini untuk kegunaan usrah di sana. Dan juga seorang rakan dari Selangor telah menempah 1 set. Tim QG mendoakan semoga ia dapat bantu sedikit sebanyak mereka di dalam pengisian usrah. Bagi saudara yang ingin membuat tempahan, mohon klik button 'Cara Pesanan' di atas untuk ketahui prosedurnya.

Tim QG mendoakan semoga usaha-usaha baik ini diberkati dan mendapat kasih sayang Allah. Tim QG juga mengalu-alukan saudara yang ingin menjemput dan bekerjasama dengan kami di dalam   membuat kebaikan kepada masyarakat kita InsyaAllah. 

p/s: Sekiranya saudara ingin posting setiap entri di dalam blog ini terus meluncur masuk ke dalam email saudara secara automatik sebaik sahaja blog ini diupdate, saudara dijemput untuk memasukkan email di dalam ruangan 'DAPATKAN MAKLUMAT TERKINI' di bahagian kanan blog ini. Sistem 'Feedburner' akan membantu memudahkan urusan penyampaian maklumat kepada saudara InsyaAllah.

Sekian, jazakallah khairan kathira.

^^ Mencari Hikmah Untuk Ummah ^^   

Thursday, August 1, 2013

Deria Ke - 6 Dalam Usrah


Sang naqib bertanya,

"Cuba teka, dalam diri manusia, ada berapa deria?"

Jawab mad'u-mad'unya pantas,

"Ada 5 bang! Deria rasa, sentuh, lihat, bau dan dengar."

Naqibnya bertanya lagi,

"Mereka yang berkecimpung dalam perjuangan untuk menegakkan Islam, ada 1 lebihan menjadikan beliau ada 6 deria. Mahu adik-adik semua tahu?"

Respon mad'u-mad'unya manja,

"Nak tahu-nak tahu!"

Lalu berkatalah sang naqib,

"Itulah deria SENSITIF. Mereka ialah orang yang hidup perasaan SENSITIFnya terhadap sesama manusia."


Perlunya Nuqaba’ Miliki Deria Sensitif Terhadap Mad’u

Nabi SAW bersabda:

“Barangsiapa yang tidak peduli urusan kaum muslimin, maka dia bukan di kalangan mereka.”

Al-Fadhil Ustaz Yahya Othman di dalam bukunya 'Amal Jamaie : Pengertian & Tuntutannya' juga ada menyebut sabda Rasulullah SAW iaitu:

"Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang kuat daya hidupnya di tengah-tengah manusia - punya sensitiviti yang baik."

Hadis-hadis ini menunjukkan betapa pentingnya seorang individu muslim itu mengambil tahu dan sensitif tentang apa yang berlaku terhadap saudara seagamanya. Hal ini termasuklah dalam institusi usrah yang melibatkan komuniti kecil di antara naqib dan ahli-ahlinya.

Naqib yang cemerlang sudah tentu bukan sekadar berusaha menghabiskan silibus usrah yang telah ditetapkan sahaja di dalam usrah, bahkan beliau berusaha untuk ambil tahu apakah yang berlaku di dalam kehidupan setiap ahli usrahnya. Ini ialah contoh checklist untuk para naqib memeriksa sejauh mana mereka sensitif terhadap ahli usrahnya:
  • Apakah perkara yang gemar dilakukannya pada masa lapang?
  • Siapakah kawan karibnya?
  • Bagaimanakah amal ibadah sehariannya?
  • Apakah makanan dan minuman kesukaannya?
  • Bagaimanakah keadaan keluarganya?
  • Apakah tanggungjawabnya di sekolah/IPT selain pelajar?
  • Apakah kelebihan atau kepakaran yang dimiliki olehnya?
  • Di manakah tempat tinggalnya?
  • Bagaimanakah kondisi akademiknya?
  • Apakah bahan bacaan yang diminati olehnya?

Apakah sedetail itu perlu diketahui oleh para naqib? Jawapannya ialah ‘ya’, bahkan jika mengetahui dengan lebih mendalam adalah lebih baik. Naqib boleh menggunakan maklumat tersebut untuk merapatkan hubungan sesama ahli usrah di samping mewujudkan rasa sayang antara satu sama lain. Namun begitu, sensitif yang dimaksudkan di sini bukanlah perasaan sensitif tidak tentu hala ya! Sensitif yang dimaksudkan di sini ialah rasa ambil berat tentang keperluan hidup di antara satu dengan yang lain.

Apakah hasil yang akan diperolehi lagi apabila wujudnya perasaan sensitif sesama ahli usrah? Ia seperti berikut:

·         Mendapat kasihan belas dari Allah
·         Sikap saling bantu-membantu akan dapat diterapkan
·         Semakin yakin menempuhi cabaran hidup
·         Sikap pentingkan diri sendiri dapat dikikis

Budaya suka memberi dari meminta-minta juga dapat diwujudkan apabila rasa sensitif ini dimiliki oleh ahli usrah. Lantas ia akan menepati sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A:

“Tangan yang berada di atas (memberi) itu adalah lebih baik dari tangan yang berada di bawah (meminta-minta)"

Akhirnya, sama-sama kita merenungi kata-kata As-Syahid Imam Hasan Al-Banna ini di dalam mengungkapkan rasa sensitifnya kepada sasaran dakwahnya,

Sungguh, kami berbuat di jalan Allah untuk kemaslahatan seluruh manusia, lebih banyak dari apa yang kami lakukan untuk kepentingan diri kami. Kami adalah milik wahai saudara-saudara tercinta. Sesaatpun kami tidak akan menjadi musuh kalian.”

Wednesday, July 17, 2013

Buat 'Duit Raya' Di Bulan Ramadhan


Bismillah, salam ukhuwwah buat semua sahabat dan pelawat setia blog Quranic Group ini. Mudah-mudahan bertambah-tambahlah kejayaan dan kebahagiaan kita semua di dunia dan akhirat.


Entri blog QG kali ini ialah: 

1. Artikel Buat 'Duit Raya' Di Bulan Ramadhan yang boleh dijadikan perkongsian ringan di dalam usrah In Syaa Allah. 
2. Perkembangan terkini tim dan silibus QG. 

Selamat membaca :)

Buat 'Duit Raya' Di Bulan Ramadhan

Sang naqib bertanya kepada para mad'unya, "Siapa mahu duit raya?"

"Saya, saya bang!" Berebut-rebut mad'u beliau menjawab dengan girang. Tampak semangat walau sedang berpuasa.

"Ok, tapi bukan abang yang beri. Allah yang beri. Mahu?" Sang naqib bertanya lagi.

"Eh, macam mana tu?" Mad'u-mad'u beliau mula confuse.

"Hehe, maksud abang tadi, 'duit raya' itu ialah dalam bentuk pahala di sisi Allah. Dan 'duit raya' tersebut kita boleh dapat sehingga lebih dari RM 3 juta. Percaya tak? Dan semuanya In Syaa Allah kita akan dapat dengan hanya membaca Al-Quran di bulan Ramadhan." Sang naqib seperti bersedia untuk berkongsi sesuatu idea.

"Oh, dalam bentuk pahala maksudnya tadi. Tapi macam mana boleh sampai lebih RM 3 juta tu bang? Banyaknya!" Seorang mad'unya menunjukkan reaksi seperti tidak percaya.

Sang naqib memulakan penerangannya;

"Begini, dalam bulan Ramadhan, 1 huruf Al-Quran yang kita baca akan dapat 10 pahala kan? Jadi, cuba kita umpamakan 10 pahala tadi seperti RM 10.

Seterusnya, dalam Al-Quran, 1 baris ada dalam 40-45 huruf. Sekiranya kita ambil yang minimum iaitu 40 huruf, maka, 

1 baris = 40 x RM 10 = RM 400

Dalam Al-Quran, 1 halaman ada 15 baris. Maka,

1 halaman = 15 baris x RM 400 = RM 6000

Dalam Al-Quran ada 604 halaman. Maka,

604 x RM 6000 = RM 3,624,000

Ini bermaksud, khatam membaca Al-Quran di dalam bulan Ramadhan akan membolehkan seseorang itu mendapat 'duit raya' dari Allah sebanyak  RM 3,624,000!"

Selesai penerangan dari sang naqib. 

Mad'unya pula terkebil-kebil mata meneliti angka-angka tersebut. Lalu terpacul keluar dari mulut mereka,

"Subhanallah! Kalau macam tu, saya nak khatam lebih dari sekalilah. Boleh dapat lebih banyak juta-juta 'duitraya' lagi dari Allah kan bang?"

Sang naqib hanya mampu tersenyum. Dan hatinya berbisik, "Ya Allah, rezekikan kami membaca Al-Quran siang dan malam baik dalam Ramadhan mahupun selain Ramadhan. Ameen."


Perkembangan terkini tim dan silibus QG


Untuk makluman saudara-saudari pelanggan setia buku QG, stok terkini Quranic Group 1 bahagian 1 In Syaa Allah akan sampai stok terbarunya pada 27 Julai ini. Mohon bersabar kepada yang masih menunggu.

Alhamdulillah buku QG telah menerima tempahan dari seorang pendidik di Politeknik Arau dan Politeknik Melaka dan juga sahabat dari UIA serta sahabat di Johor. 

Tim QG juga ingin mengumumkan berita baik untuk semua sempena bulan Ramadhan ini, tim QG     telah mengurangkan harga seunit buku QG ini iaitu dari RM 3.50 kepada RM 3.00. Pengurangan harga ini ialah baru bermula sekarang sehingga tamat Ramadhan.

Tim QG mendoakan perjalanan usrah mereka berjalan lancar dan mempunyai nilai tambah dengan adanya buku ini InsyaAllah. Bagi saudara yang berminat, boleh terus rujuk button 'Tentang QG' di atas. Dan kepada yang ingin mengetahui senarai sahabat-sahabat yang pernah melanggan QG ini, boleh rujuk button 'Pelanggan Kami' juga di atas.

Tim QG mendoakan semoga usaha-usaha baik ini diberkati dan mendapat kasih sayang Allah. Tim QG juga mengalu-alukan saudara yang ingin menjemput dan bekerjasama dengan kami di dalam   membuat kebaikan kepada masyarakat kita InsyaAllah.

Sekian, jazakallah khairan kathira.

^^ Mencari Hikmah Untuk Ummah ^^   
 

Monday, June 24, 2013

Nawaitu Hati

Bismillah, salam ukhuwwah buat semua sahabat dan pelawat setia blog Quranic Group ini. Mudah-mudahan bertambah-tambahlah kejayaan dan kebahagiaan kita semua di dunia dan akhirat.


Entri blog QG kali ini ialah: 

1. Artikel Nawaitu Hati yang penting untuk seseorang tatkala menyertai usrah. 
2. Perkembangan terkini tim dan silibus QG. 

Selamat membaca :)

Nawaitu Hati

Nabi SAW bersabda: Orang yang awal dibicarakan pada hari kiamat seorang yang mati syahid. Dia dibawa memperkenalkan diri. Allah bertanya, "Apakah yang telah engkau lakukan di dunia?" Dia menjawab, "Aku telah berperang kerana-Mu sehinga syahid." Allah berkata, "Engkau bohong! Sebaliknya engkau berperang supaya engkau dikatakan berani, dan itu telah pun dikatakan padamu."
Lalu diperintahkan agar dia dihukum, diheret wajahnya sehingga dihumbankan ke dalam neraka.

Datang pula seorang yang lain yang mempelajari ilmu, mengajarnya dan membaca Al-Quran. Dia dibawa memperkenalkan diri. Allah bertanya, "Apakah yang telah engkau lakukan di dunia?" Dia menjawab, "Aku telah mempelajari ilmu, mengajarnya dan membaca Al-Quran kerana-Mu." Allah berkata, "Engkau bohong! Sebaliknya engkau belajar ilmu supaya engkau dikatakan alim dan engkau baca Al-Quran supaya engkau dipanggil qari. Itu telah pun dikatakan kepadamu." Lalu diperintahkan agar dia dihukum, diheret wajahnya sehingga dihumbankan ke dalam neraka.

Datang pula seorang yang Allah luaskan rezekinya dan telah diberikan pelbagai jenis harta. Dia dibawa memperkenalkan diri. Allah bertanya, "Apakah yang telah engkau lakukan di dunia?" Dia menjawab, "Aku tidak tinggal satu jalan pun yang Engkau suka untuk didermakan melainkan aku telah pun menderma padanya kerana-Mu." Allah berkata, "Engkau bohong! Sebaliknya engkau lakukan supaya engkau dikatakan pemurah, dan itu telah pun dikatakan padamu." Lalu diperintahkan agar dia dihukum, diheret wajahnya sehingga dihumbankan ke dalam neraka. (Hadis Riwayat Muslim)

Hadis di atas menunjukkan peri pentingnya seseorang itu mempunyai niat yang ikhlas kerana Allah di dalam setiap perbuatannya. Hal ini juga mesti diperhatikan oleh naqib/naqibah yang ditaklifkan untuk menjaga kumpulan usrah mereka. Jauhi unsur-unsur ini di dalam hati ketika buat usrah:

- Rasa takjub terhadap kebolehan diri sendiri
- Mahu tunjuk hebat kepada ahli usrah
- Ingin selalu disebut dan dipuji kebolehannya 
- Berasa orang lain jahil dan dialah yang paling pandai

Naqib/naqibah mesti berusaha mendahulukan Allah dalam semua perkara seperti di bawah:

Naqib/naqibah ---> Allah ---> Mad'u (ahli usrah)

Jika naqib/naqibah bermasalah dengan Allah, mereka akan bermasalah dengan mad'u. Mad'u malas datang usrah, usrah mula lewat dari masa yang sepatutnya, usrah selalu sahaja ditunda, mad'u sukar ikut nasihat naqib/naqibah ialah antara situasi yang akan ditemui kesan dari hubungan yang kurang baik dengan Allah. Urusannya jadi serba tidak kena.

Mempunyai niat yang ikhlas akan menyebabkan hati mampu memantulkan cahaya ke atas hati orang lain. Bagaimana menghasilkan niat yang ikhlas? Sama-sama kita beramal dengan doa ini:


“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya” (Surah Ali Imraan ayat 8)

Dan juga doa ini:


يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membalik-balikkan hati, tetapkan hatiku di atas agama-Mu”


Hamba Allah memang akan sentiasa diuji keikhlasannya. Apa yang penting ialah kita tidak berputus asa dan cepat-cepat betulkan kembali setiap kesalahan yang dilakukan. Sesungguhnya muqaddimah itulah yang akan menentukan natijahnya. Insyaa Allah naqib/naqibah yang sentiasa berusaha membaiki niatnya akan sabar dan kental dalam menempuh kesukaran di jalan dakwah ini.

Teringat pesan seorang naqib, " Naqib yang baik ialah yang berjaya menghasilkan mad'unya yang lebih baik darinya. Ia umpama Allah menggantikan sekeping logam dengan seketul emas dalam rencam perjuangan." 

Wallahualam.

Perkembangan terkini tim dan silibus QG

Untuk makluman para pelanggan setia buku QG, Quranic Group 1 bahagian 1 dan Quranic Group 2 bahagian 1 sedang dalam proses cetakan yang seterusnya. Insyaa Allah akan dimaklumkan dalam blog ini apabila stoknya sudah siap. Justeru itu, mohon bersabar ya.

Alhamdulillah buku QG telah menerima tempahan dari mahasiswi di UiTM Perlis dan mahasiswa di UIA. Dan juga tempahan dari seorang pendidik dari Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah lebih 200 unit. 

Tim QG mendoakan perjalanan usrah mereka berjalan lancar dan mempunyai nilai tambah dengan adanya buku ini InsyaAllah. Bagi saudara yang berminat, boleh terus rujuk button 'Tentang QG' di atas. Dan kepada yang ingin mengetahui senarai sahabat-sahabat yang pernah melanggan QG ini, boleh rujuk button 'Pelanggan Kami' juga di atas.

Tim QG mendoakan semoga usaha-usaha baik ini diberkati dan mendapat kasih sayang Allah. Tim QG juga mengalu-alukan saudara yang ingin menjemput dan bekerjasama dengan kami di dalam   membuat kebaikan kepada masyarakat kita InsyaAllah.

Sekian, jazakallah khairan kathira.

^^ Mencari Hikmah Untuk Ummah ^^   
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...