Saturday, June 18, 2016

Kisah Pembunuh 99 Orang - Ibrah Untuk Nuqaba'

(gambar hiasan)

Dulu kita digemparkan dengan kejadian yang berlaku di dalam sebuah konsert hiburan yang menampilkan penyanyi-penyanyi K-Pop yang didatangkan khas dari Korea. Apa yang mengejutkan ialah bagaimana kuatnya daya tarikan artis asing tersebut sehingga berlakunya kejadian yang tidak diingini yang melibatkan mereka dengan anak gadis remaja kita di atas pentas secara terbuka. Ia telah menjadi viral di media sosial dan saudara pun pasti masih ingat bukan? Ia telah mendapat komen yang banyak dari pelbagai pihak.

 “Aku tengok yng pompuan melayu bangang tu yng melebih2 pakai tudung tu, lebih baik korang telanjang lgi bagus, mak bapak susah2 bela smpai besar,ini balasan korang, menjual maruah lebih teruk dari binatang ataupun bohsia...”

“Suasana mcm dalam neraka, paling banyak kaum hawa..menjerit ketakutan dan sakit kena seksa..”

Astaghfirullah. Meneliti komen-komen tersebut yang disalin dari Youtube, kita agak terkilan apabila mendapati banyak yang berbentuk cercaan, makian, penghinaan, sumpah seranah dan kata-kata nista yang seolah-olah ‘menerakakan’ anak gadis remaja tersebut. Ya, salah tetap salah. Itu memang tidak dinafikan dan diharapkan ada tindakan dari pihak yang sewajarnya. Cuma, selaku saudara seagama, adakah begitu cara komen dan maklum balas kita terhadap saudara kita yang telah tersilap langkah tersebut?

Kisah Hadis Pembunuh 99 Orang
Hadis ini ada di dalam Sahih Bukhari atau Muslim. Ia agak panjang. Dipendekkan cerita, hadis ini tentang seorang pembunuh yang telah membunuh 99 orang dan dia telah menyesal lalu mahu bertaubat. Dia telah pergi bertemu orang yang kuat ibadah (abid) untuk bertanya hal tersebut. Namun si abid itu telah menyatakan bahawa tiada harapan lagi buatnya. Mendengar jawapan itu, si pembunuh tadi tidak berpuas hati lantas dibunuhnya pula si abid tersebut.

 Kemudian dia kembali menyesal lantas meneruskan pengembaraan mencari jalan taubat hingga bertemu dengan seorang alim. Si alim itu menyatakan bahawa dia masih punya harapan dan menyarankan agar dia pergi ke sebuah kampung kebaikan dan bertaubat di sana. Lantas si pembunuh itu beredar ke sana. Namun di tengah perjalanan, dia mati.

Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab datang dan berebut untuk mengambilnya, kerana tidak pasti apakah dia ini layak ke syurga, atau patut dicampak ke neraka. Lantas Allah menyuruh kedua-dua malaikat tadi mengukur jarak lelaki tersebut mati, apakah lebih dekat dengan kampung kebaikan yang membolehkannya mendapat syurga, atau lebih hampir dengan kampung lamanya yang akan menyebabkannya ke neraka.

Bila diukur, ternyata dia dekat dengan kampung kebaikan, lantas Malaikat Rahmat mengambilnya.

Tugas Kita
Nah, apakah ibrah yang kita boleh perolehi dari kisah tersebut? Antaranya seperti berikut:

Bagi pendosa à Tidak berputus asa untuk bertaubat walau telah banyak melakukan dosa.
Bagi pendakwah à  Banyakkan memberi harapan dan motivasi kepada si pendosa dengan menceritakan Maha Pengampunnya Allah serta bagaimana cara terbaik untuk berubah. 

Tugas kita bukan dengan menghamburkan kata-kata kesat kepada maksiat, atau berlagak seperti ‘tuhan’ untuk menghukum seseorang itu dapat syurga atau neraka. Selagi nyawa belum di halkum, dan selagi matahari belum terbit di sebelah barat, pintu taubat masih dibuka oleh Allah kepada hamba-hambaNya. Jangan lupa bahawa kita juga banyak buat dosa. Justeru, mari kita kepung dunia ini dengan taubat dan kebaikan di dalamnya!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...